PETALING JAYA: Dua beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Tai-Yap Roy King, terpaksa mengharungi aksi sengit sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Perancis 2026 di Arena Grand Paris, hari ini.
Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking kelima dunia dipaksa bekerja keras oleh pasangan Denmark, Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer, sebelum menang 21-17, 19-21, 21-17 dalam aksi yang berlanjutan tiga set.
Selepas memenangi set pertama, Sze Fei-Izzuddin gagal mengekalkan momentum apabila tewas pada set kedua, namun pasangan negara itu kembali bangkit untuk menamatkan cabaran lawan menerusi kemenangan 21-17 pada set penentuan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Menanti Sze Fei-Izzuddin pada pusingan kedua ialah satu lagi pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, yang turut mara selepas menewaskan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan dari Taiwan.
Turut mengesahkan kemaraan ialah Aaron-Roy King yang bangkit selepas kehilangan set kedua untuk menundukkan pasangan Amerika Syarikat (AS), Chen Zhi Yi-Presley Smith, 21-18, 18-21, 21-12, sekali gus memastikan dua wakil negara kekal dalam saingan beregu lelaki.
Cabaran lebih getir menanti Aaron-Roy King pada pusingan kedua apabila mereka dijadual berdepan pasangan pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, yang mara selepas menewaskan wakil Jepun, Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita.
Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, yang gagal melepasi halangan pertama selepas tewas kepada pemain Jepun, Koki Watanabe, 15-21, 11-21.
Dalam saingan wanita, K. Letshanaa menamatkan cabaran sektor perseorangan di Paris apabila tewas kepada pilihan kelapan dari Thailand Pornpawee Chochuwong 21-23, 15-21.
Turut tersingkir ialah beregu campuran Jimmy Wong-Cheng Su Yin yang tewas kepada pasangan Indonesia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah, 20-22, 18-21, manakala Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien terkandas selepas tewas kepada pasangan Hong Kong, Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin. – UTUSAN




