Pengeluaran pasta terjejas akibat mogok pemandu lori

Pengeluaran pasta terjejas akibat mogok pemandu lori

MILAN – Pengeluaran pasta di Itali berdepan gangguan serius susulan mogok pemandu lori di selatan negara itu bagi membantah kenaikan mendadak harga bahan api dan kos sara hidup yang menjejaskan penghantaran bahan mentah ke kilang, lapor Reuters.

Gangguan pengangkutan itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan makanan di Rome apabila penghantaran barangan dari selatan Itali ke ibu negara berdepan kesukaran.

Kumpulan pelobi pertanian Itali, Confagricoltura memberi amaran bahawa pengeluar di Sicily terpaksa memusnahkan sejumlah besar hasil pertanian yang mudah rosak sekiranya pengangkutan tidak kembali beroperasi.

Pengeluar pasta, Rummo yang berpangkalan di wilayah Campania memaklumkan, pihaknya terpaksa menghentikan sementara operasi pengeluaran pada Selasa selepas kehabisan bahan mentah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Cosimo Rummo berkata, hampir semua pengeluar pasta utama di wilayah jiran, Puglia, turut berdepan masalah sama. Campania, Puglia dan Sicily merupakan antara kawasan utama pengeluaran pasta di Itali.

“Ini bermakna kebanyakan pengeluaran pasta Itali terhenti sepenuhnya atau hampir tidak beroperasi,” katanya kepada akhbar la Repubblica.

Sementara itu, satu lagi pengeluar pasta, La Molisana yang berpangkalan di wilayah Molise, melaporkan penurunan ketara dalam pengeluaran sehingga terpaksa menggunakan stok bahan mentah sedia ada, termasuk gandum dan tepung semolina.

Menurut laporan European House-Ambrosetti (TEHA Group) pada September lalu, rantaian bekalan pasta Itali menjana pendapatan sebanyak 13.5 bilion euro tahun lalu.

Kenaikan mendadak harga bahan api dan kos sara hidup menjejaskan pengeluaran pasta di Itali. - FOTO: Media sosial

Kenaikan mendadak harga bahan api dan kos sara hidup menjejaskan pengeluaran pasta di Itali. – FOTO: Media sosial

Dalam perkembangan berkaitan, Centro Agroalimentare Roma (CAR), pasaran borong buah-buahan dan sayur-sayuran terbesar di Itali memaklumkan, sekatan jalan raya serta peningkatan kos pengangkutan menyebabkan kekurangan bekalan beberapa produk, termasuk tomato, lada benggala dan anggur.

Keadaan itu turut mendorong kenaikan harga serta meningkatkan kebergantungan kepada import dari negara seperti Sepanyol dan Albania. Kerajaan Itali berikrar menyalurkan bantuan tambahan kepada pengusaha pengangkutan jalan raya bagi menangani kesan kenaikan kos operasi.

Timbalan Menteri Infrastruktur, Edoardo Rixi, berkata, pakej bantuan bernilai lebih 150 juta euro akan disediakan dalam masa terdekat selepas mengadakan pertemuan dengan wakil industri berkenaan pada Selasa.

Pentadbiran Perdana Menteri, Giorgia Meloni, turut bersiap sedia memperketat langkah keselamatan susulan rusuhan pada hujung minggu lalu di Milan dan beberapa bandar lain di utara negara itu yang tercetus selepas demonstrasi membantah inflasi.

Presiden konsortium pengangkutan lori Trapani di bandar pelabuhan barat Sicily, Vincenzo Aleccia, mengakui gangguan yang berlaku memberi kesan besar, namun menegaskan tindakan itu merupakan protes secara aman demi kepentingan rakyat.

“Ini protes secara aman dan demi manfaat rakyat,” katanya kepada Reuters sambil menjelaskan kenaikan harga memberi kesan kepada semua pihak.

Mogok yang bermula minggu lalu menerusi sekatan jalan raya, lebuh raya dan pelabuhan di Sicily serta selatan Itali itu turut menyebabkan kekurangan barangan di pasar raya dan barisan panjang di stesen minyak.

 

 

Scroll to Top