audreymd@nst.com.my
Georgetown: Empat individu cedera selepas BMW dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Jambatan Pulau Pinang, hari ini.
Kemalangan itu berlaku pada jam 12.13 pagi di Kilometer 3.4 laluan dari tanah besar menghala ke pulau.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, keempat-empat mangsa yang menaiki BMW itu dibawa ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
Beliau berkata, pemandu lori tangki berusia 53 tahun itu tidak mengalami kecederaan.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Ketika anggota bomba tiba, keempat-empat mangsa yang menaiki BMW itu sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Seramai 12 anggota bomba bersama sebuah jentera bomba dan satu unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.
Anggota bomba turut membersihkan sisa kemalangan bagi memastikan tiada bahaya susulan sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.11 pagi.
Polis dan kakitangan PLUS turut membantu di lokasi kejadian.
Seorang daripada mangsa yang cedera dikenal pasti sebagai lelaki berusia 44 tahun, manakala identiti tiga lagi mangsa belum diperoleh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




