'Saya tak mahu cakap banyak cuma menyatakan, PN kembali… PN kembali!' – Takiyuddin

'Saya tak mahu cakap banyak cuma menyatakan, PN kembali… PN kembali!' – Takiyuddin

Rahmat@nst.com.my

Kuala Lumpur: “PN kembali! PN kembali!”

Demikian laungan kegembiraan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan permohonan beliau untuk menangguhkan pelaksanaan penggantungan dan pembatalan pendaftaran parti itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Keputusan itu melegakan gabungan berkenaan hanya sembilan hari sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekali gus membolehkannya, menurut peguam, menyambung semula aktiviti politik serta persiapan untuk bertanding menggunakan nama dan lambangnya sendiri.

Bercakap pada sidang media selepas prosiding itu, Takiyuddin merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam gabungan itu yang diketuai bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai perkembangan penting bagi PN yang berusaha membatalkan penggantungan yang dikenakan pada 23 September serta pembatalan pendaftarannya pada 20 Oktober lalu.

“Saya tidak mahu bercakap terlalu banyak. Saya cuma mahu menyatakan dua perkara. PN kembali! PN kembali!” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Presiden Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Datuk Seri Shahidan Kassim.

Peguam, Rafique Rashid Ali yang menganggotai pasukan guaman gabungan itu berkata, keputusan mahkamah bermakna PN boleh kembali menjalankan aktiviti politik seperti biasa, termasuk bertanding pada PRN Melaka.

Beliau mengesahkan bahawa perintah penangguhan itu meliputi kedua-dua keputusan RoS, iaitu penggantungan dan pembatalan pendaftaran PN.

“Secara mudahnya, ini bermakna status quo dikekalkan. Kita boleh bertanding, menggunakan logo dan meneruskan semua aktiviti, termasuk di Melaka dan selepas ini di Sarawak,” katanya.

Bagaimanapun, Rafique menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi masih belum memutuskan sama ada keputusan RoS untuk menggantung dan membatalkan pendaftaran PN itu sah di sisi undang-undang.

Katanya, persoalan berkenaan hanya akan diputuskan ketika pendengaran substantif permohonan semakan kehakiman yang difailkan gabungan itu.

Rafique berkata, pertikaian itu bukan sekadar membabitkan kelangsungan politik gabungan berkenaan, malah turut membabitkan kepentingan pengundi dan wakil rakyat yang dipilih.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizan Md Arshad membenarkan permohonan PN untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu penyelesaian permohonan semakan kehakimannya, selepas mendapati terdapat keadaan luar biasa yang mewajarkan pemberian relif interim.

Hakim memutuskan bahawa keputusan RoS membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober lalu tidak secara automatik menjadikan permohonan penangguhan itu tidak lagi relevan.

Bagaimanapun, mahkamah tidak memutuskan kesahan keputusan RoS berkenaan, sebaliknya menyerahkan persoalan itu untuk ditentukan ketika pendengaran substantif semakan kehakiman kelak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top