Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hasutan

Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hasutan

SEREMBAN: Polis negeri ini mengesahkan sedang menjalankan siasatan dua kes berasingan melibatkan penyebaran kandungan di media sosial yang disyaki mempunyai unsur hasutan, penghinaan serta dakwaan tidak benar terhadap institusi raja.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dan polis turut mengesan pemilik akaun media sosial yang disyaki memuat naik kenyataan berunsur hasutan, penghinaan dan dakwaan tidak benar.

Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 bagi kesalahan melakukan perbuatan, penerbitan atau perkongsian yang mempunyai kecenderungan menghasut dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mengaibkan dengan sengaja dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian komunikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengambil maklum titah Raja-Raja Melayu seperti yang dizahirkan melalui kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pada 14 Oktober lalu yang menyeru semua pihak agar mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta penghormatan terhadap adab, adat dan maruah institusi diraja.

“Sebarang perbezaan pendirian hendaklah diselesaikan melalui saluran yang sah dan berautoriti berlandaskan undang-undang serta peruntukan yang berkaitan,” ujarnya.

Sementara itu, aktivis politik, Badrul Hisham Shahrin memberitahu, beliau ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai kira-kira pukul 12.45 tengahari semalam selepas selesai memberi keterangan di Balai Polis Cyberjaya.

Jelasnya, beliau keluar dari IPD Nilai kira-kira pukul 6.40 petang selepas selesai memberi keterangan dengan jaminan polis. – UTUSAN

Scroll to Top