Sentuhan hartawan Indonesia ubah nasib Como

Sentuhan hartawan Indonesia ubah nasib Como

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kebangkitan kelab bola sepak Itali, Como 1907 atau lebih dikenali sebagai Como dicetuskan oleh bilionair adik beradik Indonesia, Robert Budi Hartono dan Michael Bambang Hartono (mendiang).

Kelab yang berpangkalan di Lombardy itu awal pagi tadi mengejutkan arena bola sepak dunia apabila melakar sensasi dengan menumbangkan kelab gergasi, Manchester United dengan keputusan 4-1 pada perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Tujuh tahun lalu, kelab yang pernah diisytiharkan muflis sebanyak dua kali itu bermain Serie D, iaitu peringkat keempat hierarki bola sepak Itali, sebelum ia melakar pencapaian hebat pada akhir musim lalu apabila berjaya layak ke UCL selepas menamatkan Serie A di tempat keempat, menyingkirkan kelab-kelab Itali yang mempunyai reputasi lebih gah seperti AC Milan, Juventus dan Lazio.

Pencapaian luar biasa Como bukan sekadar satu kisah dongeng. Pada era 2000-an, masalah kewangan serius menyebabkan kelab itu mengalami penyingkiran ke divisyen lebih rendah secara berturut-turut.

Como diisytiharkan muflis pada 2004 dan disingkirkan daripada penyertaan dalam liga profesional.

Kelab itu ditubuhkan semula di Serie D, iaitu divisyen tertinggi bagi bola sepak bukan profesional di Itali, dan menghabiskan tiga musim dalam divisyen berkenaan sebelum dinaikkan pangkat ke Serie C2 pada 2007.

Selepas sekali lagi diisytiharkan muflis pada 2016, sebuah entiti korporat baharu menubuhkan semula kelab itu pada 2017, sekali gus membolehkannya kembali bersaing dalam Serie D.

Di bawah pemilikan adik-beradik Hartono, yang disenaraikan antara individu terkaya di dunia oleh Forbes dan merupakan pemilik kelab bola sepak terkaya di Itali, Como kembali ke Serie B sebelum naik ke Serie A pada 2024, menamatkan penantian selama 21 tahun untuk kembali ke liga utama.

Como menamatkan musim pertama selepas kembali ke Serie A di tempat ke-10. Pada musim 2025-2026, kelab itu menduduki tempat keempat, sekali gus melayakkan diri ke pertandingan Eropah buat kali pertama sejak menyertai musim 1980-1981 dan mencatat penampilan sulung dalam UCL.

Pencapaian luar biasa itu mungkin tidak berlaku tanpa ‘sentuhan emas’ adik beradik Hartono, pemilik kepada konglomerat utama Indonesia, PT Djarum, yang membeli kelab itu pada 2019.

Djarum ialah pengeluar rokok berpangkalan di Kudus, Jawa Tengah yang menghasilkan puluhan jenama tempatan dan antarabangsa, terutamanya rokok kretek.

Di bawah syarikat induk langsungnya, PT Dwimuria Investama Andalan, yang juga dikenali sebagai Djarum Group, kumpulan itu turut mempunyai perniagaan bukan berasaskan tembakau dalam sektor teknologi, perbankan dan makanan.

Selain pemilikan dalam Como, Djarum turut bergiat aktif dalam bidang sukan termasuk memiliki kelab badminton PB Djarum yang melahirkan juara Olimpik, Alan Budikusuma selain pernah menjadi penaja utama liga bola sepak tertinggi Indonesia.

Kisah kejayaan Como bukan satu-satunya membabitkan bilionair dari Asia Tenggara.

Ahli perniagaan di rantau ini telah mengambil alih kelab bola sepak Eropah selama hampir dua dekad, namun hasilnya agak berbeza-beza.

Leicester, yang dimiliki King Power Group dari Thailand sejak 2010, merosot daripada juara Liga Perdana Inggeris kepada Liga Satu dalam tempoh hanya sedekad.

Sebelum Como atau Leicester, seorang lagi hartawan Asia Tenggara mencuri perhatian dunia. Pada Julai 2007, bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, membeli Manchester City pada harga £81.6 juta.

Sementara itu, dua bilionair Malaysia, Tan Sri Vincent Tan dan Datuk Ruben Emir Gnanalingam kini memiliki pegangan dalam dua kelab bola sepak yang sedang bersaing dalam Liga Kejuaraan Inggeris pada musim baharu ini.

Tan, pengasas konglomerat Berjaya Corporation Bhd (BCorp) ketika ini memiliki pegangan majoriti dalam Cardiff City, manakala Ruben, yang juga Pengerusi Eksekutif Westports Bhd mengekalkan kepentingannya sebagai pemilik Queens Park Rangers.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top