TFCSB buat pembayaran berkala selesaikan sekatan FIFA

TFCSB buat pembayaran berkala selesaikan sekatan FIFA

Kuala Nerus: Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) sudah melaksanakan pembayaran secara berkala bagi menyelesaikan isu sekatan perpindahan pemain Terengganu FC (TFC) oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bermula 14 Oktober lalu.

TFCSB dalam kenyataan hari ini memaklumkan kes itu melibatkan tuntutan lama dan pihak kelab telah mengambil maklum mengenai perkara berkenaan.

Menurut kenyataan itu, TFCSB sentiasa bertindak secara telus dan profesional, selain memastikan setiap urusan melibatkan kelab diselesaikan mengikut garis panduan yang sah.

“Untuk makluman, kes itu melibatkan tuntutan perihal yang lepas dan pihak kelab telah mengambil maklum serta pembayaran berkala telah pun dilakukan.

“Namun, pihak kelab sentiasa komited dan mengambil maklum tarikh pendaftaran kedua pemain yang bakal bermula pada 5 Jan 2027. Penyelesaian akan dibuat secara profesional tanpa menjejaskan perancangan pasukan dan kelab musim ini,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, TFCSB memaklumkan pihaknya akan berkongsi perkembangan terbaharu mengenai perkara itu kepada penyokong bola sepak Terengganu dari semasa ke semasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top