Dakwaan guna darjah kebesaran tidak diiktiraf, Ahmad Husam pilih jawab di mahkamah

Dakwaan guna darjah kebesaran tidak diiktiraf, Ahmad Husam pilih jawab di mahkamah

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin memilih untuk menjawab segala persoalan berhubung tuduhan menggunakan darjah kebesaran tidak diiktiraf menerusi proses mahkamah.

Ahmad Husam berkata, beliau tidak mahu mengulas lanjut berhubung dakwaan dirinya menjadi mangsa konspirasi terancang pihak tertentu, sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan untuk dibuktikan di mahkamah.

“Saya jawab di mahkamah nanti, kebenaran pasti muncul,” katanya ringkas ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ahmad Husam diminta mengulas dakwaan pemilik akaun Facebook, Ramlee KP, mengenai beberapa isu membabitkan Ahmad Husam sebelum ini adalah sebahagian daripada perancangan pihak tertentu untuk menjatuhkan imejnya.

Menerusi hantaran itu, pemilik akaun berkenaan mendakwa isu terbaru berkaitan penggunaan darjah kebesaran tidak diiktiraf adalah satu lagi usaha untuk mengenakan pendakwah terbabit.

Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan kemenangan Ahmad Husam dalam saman terhadap aktivis politik, Zamil Ibrahim dan bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, Muhammad Mukhlis Maghribi.

Pada 26 Ogos lalu, media melaporkan Ahmad Husam memenangi saman terhadap kedua individu berkenaan menerusi penghakiman Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Peguam yang mewakili Ahmad Husam selaku plaintif, Muhammad Asyraf Abd Aziz mengesahkan perkembangan itu.

Dalam prosiding berkenaan, Zamil dan Muhammad Mukhlis diperintahkan membayar keseluruhan ganti rugi serta kos berjumlah RM483,000.

Mengulas lanjut, pemilik akaun Facebook itu mendakwa pihak tertentu kini cuba menjadikan isu penggunaan darjah kebesaran sebagai cara baharu untuk mencalarkan imej Ahmad Husam.

Beliau turut mendakwa darjah kebesaran berkenaan diterima Ahmad Husam di Melaka melalui proses yang sah atas pengesyoran bekas Perdana Menteri.

Pemilik akaun berkenaan turut mendakwa konspirasi itu membabitkan beberapa tokoh terkenal dari utara tanah air, namun tidak memperincikan identiti mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top