Terapi akuatik berakhir tragedi, wanita lemas jatuh pelampung

Terapi akuatik berakhir tragedi, wanita lemas jatuh pelampung

am@hmetro.com.my

George Town: Seorang wanita warga asing meninggal dunia selepas ditemui lemas dalam kolam renang di sebuah kondominium di Tanjung Bungah, di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 6.10 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita berusia 57 tahun itu sedang menjalani terapi akuatik bersama suaminya di kolam renang kondominium berkenaan kira-kira jam 5.20 petang.

“Suaminya meninggalkan wanita itu selama kira-kira lima minit untuk menjawab panggilan telefon daripada seorang rakan.

“Apabila kembali, dia mendapati isterinya sudah tenggelam, dipercayai jatuh dari pelampung,” katanya.

Abdul Rozak berkata, lelaki itu kemudian terjun ke dalam kolam dan menarik isterinya ke tepi sebelum memberikan bantuan pernafasan (CPR), bagaimanapun petugas ambulans mengesahkan wanita itu meninggal dunia di lokasi pada jam 5.49 petang.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu, dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut, bagaimanapun sedang menjalankan siasatan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top