Gen Z ketuai gelombang bantahan kos hidup tinggi di Eropah

Gen Z ketuai gelombang bantahan kos hidup tinggi di Eropah

PARIS: Golongan muda yang lahir pada tahun 1997 hingga 2012 di seluruh Eropah mengetuai demonstrasi bagi membantah pelbagai isu, daripada kekurangan peruntukan pendidikan hingga kos perumahan yang tinggi.

Ia sekali gus memberi cabaran besar kepada kerajaan yang sudah berdepan tekanan daripada golongan itu yang dikenali sebagai Gen Z.

Punca ketidakpuasan hati itu berbeza mengikut negara sepertii di Sepanyol apabila seorang warga emas, Maricarmen Abascal, 87, diusir dari kediamannya  sehingga mencetuskan gelombang bantahan ini. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu di Perancis, sejumlah pelajar mengadakan demonstrasi bagi menyokong guru yang melancarkan mogok.Bantahan pelajar di Albania turut berlaku sejak beberapa bulan lalu, bermula dengan penentangan terhadap rancangan pembangunan mewah yang disokong menantu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Jared Kushner.

Hampir 800,000 orang menyertai demonstrasi baharu di seluruh Perancis pada Sabtu, termasuk 250,000 di Paris, menurut CGT, salah satu kesatuan sekerja yang menganjurkan perhimpunan itu.

Terdahulu, polis Paris menganggarkan seramai 110,000 penunjuk perasaan menyertai demonstrasi di ibu negara itu.

Polis Perancis menahan hampir 1,000 orang pada Sabtu dalam demonstrasi di seluruh negara, kata Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez.

Pasukan keselamatan dikerahkan secara besar-besaran di seluruh Itali pada Sabtu bagi mengawal demonstrasi yang disertai ribuan orang meskipun tindakan keras diperketatkan susulan pertempuran ganas sebelum ini.

Polis berkata, sembilan peserta protes ditahan manakala 371 lagi, termasuk 110 orang di bawah umur, ditahan sementara dan dibawa ke balai polis di lapan bandar ketika pertempuran tercetus dalam beberapa demonstrasi.

Bantahan berkaitan perumahan di Sepanyol turut merebak ke Portugal.  

Naib Presiden Kesatuan Pelajar Utama Perancis (UNEF), Alice de Brito berkata, kesatuan pelajar di seluruh Eropah juga berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing.

“Saya melihat jauh lebih banyak persamaan berbanding perbezaan. Kita semua bercakap tentang keperluan meningkatkan pelaburan dalam pendidikan, universiti dan golongan muda secara umum. Namun, kita juga membangkitkan isu kos sara hidup dan perumahan,” katanya.

Tuntutan itu turut disuarakan pemimpin kesatuan pelajar Itali, Sabrina Brizzola ketika berucap dalam satu perhimpunan minggu lalu.

“Mari kita bersuara menuntut sekolah yang tidak runtuh menimpa kepala kita, pekerjaan yang selamat dan bermaruah, perkhidmatan kesihatan awam serta keadilan sosial,” katanya.

Bagi pengasas bersama merangkap ketua pengarang buletin harian European Correspondent, Julius Fintelmann, demonstrasi itu mencerminkan kekecewaan apabila politik Eropah dilihat gagal memenuhi keperluan generasi seterusnya.

Selain pendidikan dan perumahan, beliau berkata, ketidaktentuan pasaran pekerjaan yang semakin meningkat, termasuk kesan kecerdasan buatan (AI) yang lebih ketara terhadap pekerjaan peringkat permulaan serta  krisis iklim turut menjadi faktor yang mencetuskan kemarahan Gen Z.

“Pada asasnya, apa yang kita lihat ialah janji demokrasi libe­ral bahawa generasi seterusnya akan menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding generasi semasa tidak lagi menjadi kenyataan,” katanya kepada CNN.

 

Scroll to Top