Tanah runtuh di Taman Seri Rambai: Penghuni datang beri makan haiwan peliharaan

Tanah runtuh di Taman Seri Rambai: Penghuni datang beri makan haiwan peliharaan

am@hmetro.com.my

Georgetown: “Saya datang sini cuma mahu beri makan anjing saya,” kata penghuni satu daripada enam rumah yang terpaksa berpindah berikutan kediaman mereka yang hampir dengan lokasi runtuhan di Lebuh Rambai 13, Taman Seri Rambai, di sini.

Penduduk yang enggan dikenali itu datang bersama ibunya dengan menaiki motosikal kira-kira jam 8.30 pagi dan hanya berdiri di hadapan pagar bagi memberi anjing peliharaannya makan.

“Semalam kami sekeluarga menginap di hotel berhampiran dan tidak bawa banyak barangan. Kami syukur semua ahli keluarga selamat tetapi sekarang tidak tahu apa yang akan berlaku.

“Rumah ini sudah tentu tak ada yang mahu beli selepas kejadian ini,” katanya yang kemudian bergegas keluar dari pekarangan rumahnya selepas diarahkan pihak berkuasa.

Sementara itu, orang ramai yang menaiki kenderaan dilihat sekali-sekala berhenti bagi merakam gambar dan melihat keadaan rumah.

Penduduk warga emas yang dikenali sebagai Goh, 80, berkata, dia sudah tinggal di kawasan itu sejak lebih 40 tahun lalu dan sangat kenal dengan semua penghuni yang tinggal berhampiran.

“Rumah saya hanya selang beberapa unit daripada rumah mereka (yang berpindah).

“Semua mereka sangat baik, selepas ini susahlah mahu jumpa,” katanya ketika ditemui hari ini.

Semalam, media melaporkan penghuni di situ, Dr Wong Kar Lin, 73, maut manakala isteri, Chang Mei Nuo, 68, dan ibunya, Wong Poh Lim, 86, selamat dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.

Mangsa ditemukan tertimbus di bahagian dapur selepas kejadian dilaporkan kepada pasukan keselamatan pada jam 8.36 pagi.

Selain arahan henti kerja dikeluarkan, pihak berkuasa turut mengarahkan penghuni enam rumah bersebelahan dikosongkan serta-merta sebagai langkah keselamatan susulan kejadian itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top