PRN Melaka: BN jangan rasa selesa, pandang mudah lawan – Ab Rauf

PRN Melaka: BN jangan rasa selesa, pandang mudah lawan – Ab Rauf

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Calon dan jentera Barisan Nasional (BN) Melaka diingatkan supaya tidak cepat merasa selesa dan memandang ringan pihak lawan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 14 November ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata perjuangan BN untuk sampai ke tahap hari ini bukan sesuatu yang mudah dan apa yang dinikmati adalah hasil kerja keras, kestabilan dan sokongan rakyat.

Justeru katanya, BN perlu terus menumpukan usaha menyelesaikan masalah rakyat dan mengekalkan kestabilan yang dibina sejak sekian lama.

“Jangan sesekali kita selesa. Jangan pandang ringan lawan. Terus turun padang, dengar suara rakyat.

“Lawan kita juga mempunyai kelebihan, namun, selalu saya sebutnya kalau dia bagi, kita ambil! Kalau mereka nak sumbang kita ambil!” kata beliau melalui Facebooknya, malam tadi.

Beliau sebelum itu melancarkan Jentera Pilihan Raya BN Peringkat Parlimen Kota Melaka sempena PRN Melaka Ke-16, selain turut menyertai konvoi lebih 100 bermotosikal menuju ke tapak pelancaran di Taman Bukit Punggur, Telok Mas.

Ab Rauf, berkata beliau sudah pun selesai mengumumkan calon mewakili BN pada PRN itu, malam kelmarin dan meminta semua peringkat pimpinan serta jentera membantu kemenangan calon, termasuk calon Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Telok Mas).

“Melaka adalah jambatan menuju Putrajaya. Pada 14 November ini, marilah kita bersatu hati, Melayu, Cina, India dan seluruh rakyat Melaka demi masa depan negeri ini yang lebih gemilang,” katanya.

BN, kelmarin, mengumumkan 21 calon mewakili gabungan itu pada PRN Melaka Ke-16, dengan menampilkan lapan muka baharu dan mengekalkan 13 calon sedia ada.

Calon berkenaan membabitkan 18 calon daripada UMNO, dua MCA dan satu MIC, manakala tujuh lagi kerusi akan diserahkan kepada rakan strategik yang akan bekerjasama dalam PRN berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top