PRN Melaka antara agenda mesyuarat MPT BERSATU malam ini

PRN Melaka antara agenda mesyuarat MPT BERSATU malam ini

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Persiapan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka antara beberapa agenda dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU malam ini.

Ahli MPT BERSATU, Dr Afif Bahardin, turut memaklumkan mesyuarat sama akan membincangkan beberapa perkara lain, termasuk tindakan tatatertib yang akan dikemukakan Perikatan Nasional (PN).

“PRN Melaka memang akan dibincangkan malam ini, manakala PRN Sarawak mungkin dibincangkan sekali.

“Tindakan tatatertib (oleh PN) ini biasalah kerana ia memang urusan parti,” katanya ketika ditemui di pekarangan ibu pejabat BERSATU di sini malam ini.

Terdahulu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pemangku Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi dan Datuk Dr Radzi Jidin serta Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat tiba untuk menghadiri mesyuarat itu kira-kira jam 7.30 malam.

Sementara itu, Ahmad Faizal dilihat cuba melarikan diri apabila diajukan soalan mengenai ketidakhadiran Naib Presiden BERSATU itu ke mesyuarat tergempar PN, semalam.

Bekas Menteri Besar Perak itu sebaliknya mempersoalkan sama ada penganjuran mesyuarat berkenaan tetap diadakan atau sebaliknya.

“Semoga anda semua dirahmati Allah. Kita kalau mahukan perpaduan sesama Melayu dan Islam… buatlah betul-betul,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top