Isu bekalan air cabaran utama capai sasaran ekonomi SG4

Isu bekalan air cabaran utama capai sasaran ekonomi SG4

alzahrin@bh.com.my

Kuala Lumpur: Keupayaan infrastruktur asas, khususnya bekalan air bersih, menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani bagi merealisasikan sasaran pertumbuhan ekonomi sehingga 7.0 peratus setahun bagi gabungan negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis (SG4) menjelang 2050.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tanpa kemudahan asas yang mencukupi, usaha mempergiat pembangunan ekonomi tempatan dan menarik lebih banyak pelaburan dikhuatiri berdepan kekangan.

Beliau berkata, ia sekali gus akan menimbulkan persoalan mengenai keupayaan empat negeri itu mencapai sasaran pertumbuhan yang ditetapkan.

Katanya, persoalan timbul mengenai kemampuan negeri itu mengembangkan ekonomi tempatan dan menarik lebih banyak pelaburan sekiranya kemudahan asas masih berdepan kekangan, termasuk rizab margin bekalan air Kedah yang dilaporkan berada pada paras sifar peratus.

“Bagaimana untuk membangunkan ekonomi tempatan dan menarik pelaburan dengan lebih rancak tanpa kemudahan infrastruktur asas seperti ini?” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan menerusi media sosial.

Semalam, gabungan empat negeri di bawah inisiatif SG4 menyatakan berpotensi mencapai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM723.75 bilion menjelang 2050 berdasarkan senario pertumbuhan kompaun tahunan 7.0 peratus.

Sasaran itu mencerminkan potensi ekonomi SG4 sekiranya disokong pelaburan berterusan, peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi dan pelaksanaan pembangunan yang berkesan.

Akmal Nasrullah berkata, sasaran KDNK gabungan empat negeri itu menjelang 2050 memerlukan pendekatan pembangunan yang lebih berkesan, termasuk perancangan berdaya maju, peningkatan produktiviti serta pelaksanaan projek dan pelaburan yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, usaha mencapai sasaran itu perlu dinilai berdasarkan pelaksanaan pembangunan yang sedang berjalan, termasuk komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peruntukan pembangunan serta melaksanakan projek strategik di negeri terbabit.

“Pada 2025, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM7.70 bilion bagi perbelanjaan pembangunan (DE) untuk empat negeri SG4, berbanding gabungan anggaran belanjawan pembangunan kerajaan negeri sekitar RM1.13 bilion.

“Perbandingan itu menunjukkan skala peruntukan pembangunan Kerajaan Persekutuan kira-kira 6.8 kali lebih besar berbanding gabungan anggaran pembangunan negeri itu.

“Komitmen pembangunan itu diteruskan menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026-2030, dengan sebanyak 1,487 projek pembangunan diluluskan bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis, membabitkan kos keseluruhan RM71.52 bilion.

“Malah, peruntukan siling pembangunan bagi empat negeri itu di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) 2027 meningkat kepada RM8.11 bilion, berbanding RM7.98 bilion di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) 2026,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata, peningkatan RM130 juta atau 1.6 peratus itu mencerminkan kesinambungan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan projek pembangunan dapat diteruskan, khususnya bagi memperkukuh infrastruktur dan kemudahan asas demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, antara projek strategik yang menyokong pembangunan ekonomi wilayah berkenaan ialah Kedah Rubber City, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Tok Bali Industrial Park, Kertih Biopolymer Park, Perlis Inland Port dan Chuping Valley Industrial Area.

Projek terbabit katanya menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi wilayah menerusi kerjasama kerajaan dan sektor swasta.

Dari sudut pelaburan pula katanya, data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi 2025 menunjukkan empat negeri SG4 merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM37.23 bilion, dengan potensi mewujudkan 18,319 peluang pekerjaan.

Bagaimanapun katanya, kelulusan pelaburan tidak bermakna projek sudah siap dilaksanakan, manakala potensi pekerjaan pula tidak semestinya diterjemahkan kepada peluang pekerjaan sebenar.

“Sehubungan itu, saya menegaskan kepentingan memastikan projek dilaksanakan seperti dirancang, selain membuka ruang kepada usahawan tempatan menyertai rantaian bekalan dan memastikan rakyat memperoleh pekerjaan berkualiti serta pendapatan lebih baik.

“Dalam pada itu, isu bekalan air di Kedah dan Kelantan perlu diberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan kemudahan asas mampu menyokong keperluan penduduk serta perkembangan sektor industri.

“Kekangan infrastruktur seperti bekalan air berpotensi menjadi cabaran kepada usaha mempergiat pembangunan ekonomi tempatan, terutama ketika negeri berkenaan berusaha menarik pelaburan baharu dan meningkatkan aktiviti perniagaan,” katanya.

Justeru, Akmal Nasrullah berkata, pelaksanaan projek pembangunan yang dibiayai Kerajaan Persekutuan perlu bergerak seiring dengan penyelesaian masalah infrastruktur asas supaya usaha membangunkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan serta manfaat nyata kepada rakyat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top