Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkongsi detik mesra bersama beberapa Ahli Parlimen PAS selepas selesai menyampaikan ucapan penggulungan di Dewan Rakyat, malam tadi.
Beliau yang lebih mesra disapa Mat Sabu berkata, pertemuan bersama beberapa Ahli Parlimen PAS itu mengimbau kembali kemesraan mereka meskipun kini berbeza haluan politik.
“Habis je Bang Mat buat penggulungan di Dewan Rakyat malam tadi, terus dikerumuni adik-adik PAS yang sekarang ni semuanya dah bergelar YB.
“Alhamdulillah, seronok dapat jumpa, bersembang dan bergelak ketawa macam dulu-dulu,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Mengulas pertemuan itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkenaan menegaskan perbezaan pandangan dan perdebatan dalam persidangan Parlimen tidak seharusnya menjadi alasan untuk memutuskan hubungan persaudaraan.
Menurutnya, Islam sentiasa menekankan kepentingan menjaga silaturahim, termasuk ketika berdepan percanggahan pendapat dalam soal politik.
“Berbeza pandangan itu lumrah, tetapi jangan sampai menjadi asbab untuk kita bermasam muka, tak bertegur sapa, apatah lagi saling maki-hamun,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan pendirian politik tidak bermaksud seseorang perlu bermusuhan dengan pihak yang mempunyai pandangan berlainan.
“Berbeza pendirian politik tak semestinya kita perlu bermusuh. Yang berbeza itu pandangan, bukan persaudaraan.
“Dalam Dewan kita berhujah, di luar Dewan kita tetap bersaudara. Itulah indahnya ukhuwah dalam Islam,” jelasnya.
Sumber: FB Mohamad Sabu




