Masalah royalti belum berakhir – Freddie Fernandez

Masalah royalti belum berakhir – Freddie Fernandez

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : “Saya rasa kalau anak saya pun nak masuk muzik, saya tak galakkan langsung. Masa depan itu memang tak menentu,” kata Datuk Freddie Fernandez.

Freddie yang juga Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) berkongsi perkara itu menerusi saluran YouTube lebih masa (Bukan Sekadar Bicara).

Menerusi topik Royalti Lagu: Siapa Sebenarnya Kaya? kendalian Kamarul Bahrin Haron bersama pengacara bersama Datuk Saniboey Mohd Ismail, Freddie tampil memperkatakan isu hangat yang masih membelenggu industri seni tanah air iaitu royalti.

Menerusi sesi perbincangan mereka, Freddie memaklumkan masalah royalti belum berakhir biarpun sudah lebih 30 tahun dia terbabit dalam industri dan memperjuangkan perkara ini.

Antara topik dibincangkan dalam sesi berdurasi lebih satu jam itu ialah berkenaan kutipan royalti, ketelusan badan yang bertanggungjawab mengutip royalti dan isu berkaitan royalti yang diperolehi oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Datuk Sudirman.

Tidak ketinggalan diperkatakan ialah zaman permulaannya ketika belajar di St John di mana beliau mula bermain muzik dan seterusnya bermula dengan kumpulan Revolvers.

Freddie mengakui kesilapannya apabila menandatangani kontrak ‘publishing’ (penerbitan) tanpa membaca kandungan sehingga mengakibatkan dia mengalami kerugian.

“Satu kesilapan yang saya telah buat ialah menandatangani kontrak ‘publishing’ di mana saya tak baca. Oleh kerana saya tak diberitahu, masa itu saya dah jumpa orang Warner untuk ‘distribute’ (pengedaran) album.

“Kita tak ada syarikat rakaman, buat album itu dengan duit sendiri, bayar studio bayar semua kos untuk penerbitan album dan selepas saya terbitkan album itu saya pergi ke Warner untuk ‘distribution’ sahaja.

“Tapi dalam kontrak ‘distribution’ itu, tiba-tiba saya baru tahu ada satu kontrak tentang ‘publishing’ di mana Warner berhak untuk dapat 50 peratus daripada apa yang saya dapat untuk royalti.

“Jadi selama 30 tahun yang lepas, saya tak pernah dengar dari Warner, tetapi setiap tahun dia akan ambil separuh daripada royalti saya, 50 peratus.

“Dan ini yang berlaku kepada ramai komposer dan artis,” katanya.

Menerusi kontrak terbabit, Freddie dan penulis lirik berkongsi 25 peratus seorang, manakala selebihnya milik Warner.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top