BANGKOK – Kerajaan Thailand menarik balik kewarganegaraan seorang pemimpin masyarakat Yahudi, Rabbi Yosef Chaim Kantor selepas siasatan mendapati beliau masih menggunakan kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS) walaupun telah menjadi rakyat Thailand sejak 2013.
Menurut Khaosod English, keputusan itu dibuat menerusi arahan yang ditandatangani Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Dalam Negeri, Anutin Charnvirakul pada Rabu.
Kantor yang mengetuai rangkaian Chabad di Thailand memperoleh kewarganegaraan negara itu melalui proses naturalisasi mengikut Seksyen 10 Akta Kewarganegaraan 1965.
Kelulusan kewarganegaraannya diwartakan secara rasmi pada 11 April 2013 sebelum beliau menerima kad pengenalan Thailand pertamanya pada 2 Mei tahun sama.
Bagaimanapun, hasil siasatan Jabatan Siasatan Khas (DSI) di bawah Kementerian Kehakiman mendapati Kantor menggunakan kewarganegaraan AS sebanyak 16 kali ketika keluar masuk Australia.
Menurut kementerian itu, kali terakhir penggunaan kewarganegaraan AS direkodkan adalah pada 26 Januari 2026.
Pihak berkuasa menjelaskan bahawa tindakan tersebut melanggar syarat naturalisasi yang telah diketahui dan dipersetujui Kantor ketika mengemukakan permohonan kewarganegaraan Thailand.
Sehubungan itu, Anutin menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 19(2) Akta Kewarganegaraan 1965 yang membenarkan kerajaan menarik balik kewarganegaraan seseorang yang memperolehnya melalui naturalisasi sekiranya individu berkenaan didapati masih menggunakan kewarganegaraan asal.
Kementerian Dalam Negeri turut menegaskan bahawa kelewatan mengambil tindakan dalam kes tersebut berpotensi mendatangkan kemudaratan serius kepada kepentingan awam dan negara.
Kantor merupakan pemimpin rangkaian Chabad di Thailand, sebuah gerakan keagamaan Yahudi antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan keagamaan dan sokongan kepada masyarakat Yahudi di negara berkenaan. – Agensi



