Syarikat kecil perlu diperkasa supaya jadi peneraju serantau – PM

Syarikat kecil perlu diperkasa supaya jadi peneraju serantau – PM

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Syarikat tempatan khususnya bersaiz sederhana perlu diperkasa untuk berkembang menjadi peneraju serantau bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan membolehkan rakyat Malaysia menikmati kemajuan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Bursa Malaysia mempunyai peranan penting dalam membantu syarikat tempatan mengambil langkah berkenaan, termasuk menyediakan ruang kepada perniagaan mendapatkan modal untuk mengembangkan operasi.

“Terlalu banyak syarikat berpotensi masih kekal kecil untuk tempoh terlalu lama, sekali gus menjadikan usaha memperbesar skala perniagaan sebagai antara cabaran utama yang perlu diberikan perhatian.

“Banyak syarikat yang baik kekal kecil terlalu lama,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-50 Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Farid Alias.

Anwar berkata, sekiranya usaha itu berjaya, lebih banyak perniagaan Malaysia dapat berkembang, pekerjaan berkualiti dapat diwujudkan dan lebih ramai rakyat mempunyai kepentingan dalam kemajuan negara.

Beliau berkata, perjalanan Bursa Malaysia sepanjang 50 tahun memperlihatkan perkembangan ketara pasaran modal negara, daripada permulaan kecil kepada sebuah pasaran yang kini mempunyai lebih 1,100 syarikat tersenarai dengan nilai pasaran melebihi RM2 trilion.

Katanya, pada 1960, empat firma broker saham bertemu di Bank Negara Malaysia (BNM) bagi sesi dagangan pertama Bursa Saham Malaya.

Pasaran ketika itu bermula dengan 264 syarikat tersenarai dan permodalan pasaran kira-kira RM12.7 bilion sebelum Bursa Malaysia ditubuhkan pada 1976, yang kini genap 50 tahun.

Beliau berkata, perkembangan itu turut mengubah cara pelabur menjalankan urus niaga, daripada perlu menghubungi broker dan menunggu maklum balas kepada kemampuan melaksanakan urus niaga saham dalam beberapa saat.

Anwar berkata, pertumbuhan pasaran modal memerlukan keyakinan pelabur, institusi yang kukuh serta peraturan yang adil. Justeru, katanya, kerajaan memberikan perhatian kepada tadbir urus dan disiplin fiskal bagi menjadikan Malaysia lebih menarik sebagai destinasi pelaburan.

“Pelabur memerlukan institusi yang kukuh dan peraturan yang adil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM218.5 bilion pada separuh pertama tahun ini.

Katanya, melalui ekonomi MADANI, kerajaan berusaha meningkatkan keupayaan ekonomi negara, di samping memperbaiki taraf hidup rakyat.

Beliau turut menekankan kepentingan integriti dalam pasaran modal, khususnya bagi memastikan rakyat yang melaburkan wang mereka mempunyai keyakinan terhadap syarikat dan institusi yang menyokong pasaran.

“Syarikat yang meminta rakyat Malaysia melabur di dalamnya mesti berurusan dengan mereka secara jujur,” katanya.

Anwar berkata, perniagaan yang baik seharusnya berupaya mendapatkan modal dengan syarat yang adil, manakala rakyat perlu mempunyai keyakinan terhadap institusi menyokong pasaran.

Sementara itu, Anwar berkata, syarikat Malaysia perlu meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai bagi sektor semikonduktor, pembuatan termaju dan teknologi digital, selain bersaing dengan yakin di pasaran antarabangsa.

“Perubahan landskap global, termasuk ketegangan geopolitik yang mempengaruhi perdagangan dan pelaburan, perkembangan teknologi serta peralihan tenaga, mewujudkan keperluan baharu terhadap modal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top