Naomi Osaka tersungkur di tangan remaja Slovakia

Naomi Osaka tersungkur di tangan remaja Slovakia

Tokyo: Bekas pemain nombor satu dunia, Naomi Osaka menamatkan musim 2026 dengan kekecewaan apabila tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Pan Pacific selepas tewas kepada pemain remaja Slovakia, Mia Pohankova, 3-6, 5-7, hari ini.

Mia yang baru berusia 18 tahun bulan ini mencipta kejutan apabila menyingkirkan Naomi, bekas juara kejohanan itu dan pilihan ketujuh, sekali gus melangkah ke suku akhir di hadapan penyokong tuan rumah yang hadir memberikan sokongan kepada pemain Jepun berkenaan.

Pemain yang beraksi menerusi tiket wildcard itu mengakui bangga dengan kejayaan menewaskan lawan berpengalaman yang pernah menduduki ranking teratas dunia.

“Saya benar-benar bangga dengan diri sendiri. Ini kali pertama saya bermain menentang pemain sehebat itu dan saya berasa sangat, sangat gembira,” kata Mia.

Naomi sebelum ini membuka kempen dengan kemenangan dua set ke atas Jasmine Paolini, namun gagal meneruskan momentum berkenaan ketika berdepan tentangan Pohankova yang mempamerkan aksi meyakinkan.

Kekalahan itu menutup tirai musim 2026 yang tidak menentu buat juara empat kali Grand Slam berkenaan, yang bergelut mengekalkan konsistensi sepanjang tahun.

Minggu lalu, Naomi mengakui pernah mempertimbangkan persaraan dan sering tertanya-tanya berapa lama lagi dia akan meneruskan karier dalam sukan tenis profesional.

Sementara itu, Mia akan berdepan pemain Amerika Syarikat, Alycia Parks pada suku akhir dalam usaha meneruskan kejutan di kejohanan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top