Amir Ahnaf takut duduk sendiri

Amir Ahnaf  takut duduk sendiri

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Amir Ahnaf, mengakui melalui salah satu fasa paling gelap dalam hidupnya selepas selesai penggambaran filem Baga: Esok Untuk Siapa disebabkan kesukaran untuk keluar daripada karakter berat yang dibawakannya iaitu Jani.

Amir atau Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 26, impak mendalami watak itu menyebabkan dia berasa sangat takut untuk tinggal bersendirian.

“Proses untuk keluar daripada karakter Syazani sangat sukar. Keputusan pertama yang saya buat ketika itu adalah menghubungi adik-adik dan meminta mereka datang tinggal bersama saya.

“Ini kerana saya takut untuk duduk bersendirian. Jadi, apabila adik-adik datang, sekurang-kurangnya saya dapat melihat wajah mereka dan rasa diri lebih selamat,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Ditanya jika pengalaman mendalami watak itu menyebabkan dirinya berasa takut, Amir beranggapan bahawa setiap individu menjadi lebih kuat apabila dikelilingi oleh orang tersayang.

“Perkara yang paling saya takut ketika itu adalah bersendirian. Bagi saya, manusia menjadi lebih kuat apabila berada bersama-sama orang lain, lagi-lagi ketika saya sedang melalui proses mendalami dan melepaskan karakter yang begitu berat,” katanya lagi.

Mengulas mengenai persediaan bagi memastikan karakter Jani benar-benar ‘hidup’, Amir mendedahkan dia melakukan kajian mendalam mengenai pengaruh bahan terlarang.

Katanya, dia menonton pelbagai video di platform YouTube bagi memahami secara mendalam kesan pengambilan dadah terhadap individu, terutamanya dari segi bahasa tubuh, cara pertuturan dan pergerakan mata, sebelum menerapkan semua pemerhatian itu ke dalam wataknya.

“Cara saya membuat persiapan adalah dengan duduk bersendirian di dalam bilik, memasang kamera dan mencuba membaca skrip sambil melakonkan karakter tersebut.

“Saya bayangkan kamera itu seperti kamera sebenar di lokasi penggambaran. Selepas rakam, saya akan tonton semula lakonan tersebut. Kalau saya masih nampak diri saya sebagai Amir Ahnaf, maksudnya lakonan itu belum berjaya,” kongsinya.

Menurut pelakon drama Keluarga Itu, dia akan mengulangi perbuatannya untuk berlakon di hadapan kamera sehingga dia melihat dirinya bukan lagi seorang Amir Ahnaf.

“Jadi, Amir akan ulang lagi sehingga apabila menonton rakaman itu, Amir nampak seorang individu yang berbeza dan bukannya Amir Ahnaf.

“Tetapi, apabila berada di lokasi penggambaran, kita akan mempelajari perkara lain pula kerana perlu berinteraksi dengan pelakon lain yang memberikan tenaga berbeza. Bagi saya, filem merupakan hasil kerja berpasukan,” ujarnya.

Filem Baga: Esok Untuk Siapa arahan Ariff Zulkarnain ini bakal menemui penonton di seluruh pawagam pada 5 November ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top