JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memberi amaran bahawa amalan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa boleh menjadi titik permulaan kehancuran sesebuah negara.
Beliau berkata, kekayaan dan sumber negara perlu dilindungi daripada disalahgunakan demi memastikan pembangunan negara berjalan lancar, khususnya dalam sektor pendidikan.
“Rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sebenarnya adalah permulaan kehancuran bangsa,” katanya ketika merasmikan Sekolah Menengah Atas (SMA) Taruna Nusantara Kampus Cimahi di Jawa Barat pada Jumaat.
Menurut Prabowo, usaha membangunkan Indonesia berlandaskan cita-cita pengasas negara memerlukan sistem pendidikan berkualiti bagi melahirkan generasi pemimpin masa depan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencukupi sekiranya seseorang pemimpin tidak memiliki nilai moral dan integriti.
“Pemimpin unggul bukan hanya perlu cemerlang dari segi pemikiran, tetapi juga fizikal, jiwa dan hati,” katanya.
Prabowo turut mengingatkan bahawa individu yang bijak tetapi mempunyai niat buruk boleh mendatangkan penderitaan, ketidakadilan dan bencana kepada masyarakat.
Sehubungan itu, beliau mahu institusi pendidikan melahirkan pemimpin berwibawa yang bukan sahaja memiliki kecerdasan intelektual, malah berakhlak mulia dan bertanggungjawab terhadap rakyat.
Beliau turut menegaskan peluang mendapatkan pendidikan berkualiti perlu dibuka kepada semua golongan tanpa mengira latar belakang ekonomi, kaum atau agama. – Agensi



