am@hmetro.com.my
Mersing: Rahsia skandal rakan sekerja terbongkar selepas lelaki berstatus suami orang ditangkap khalwat dengan wanita bujang di sebuah pusat peranginan mewah, di sini, tengah malam tadi.
Pasangan yang bekerja di Johor Bahru dan berusia 20-an itu ditahan pada 12.20 tengah malam selepas gagal mengemukakan dokumen pernikahan sah ketika pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
JAINJ dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menekan loceng bilik sebelum dibuka kira-kira dua minit kemudian oleh seorang lelaki berseluar panjang dan berbaju T.
“Pemeriksaan di dalam bilik itu menemukan seorang wanita yang memakai pakaian lengkap sedang duduk di atas katil.
“Ketika soal siasat awal, lelaki terbabit mendakwa wanita berkenaan adalah isterinya tetapi tidak membawa surat nikah.
“Taktiknya itu terbongkar selepas penguat kuasa mengasingkan kedua-duanya. Lelaki berkenaan tetap mendakwa sudah bernikah, manakala wanita terbabit mengaku mereka belum bernikah,” jelasnya.
Menurut JAINJ, siasatan mendapati lelaki itu menaiki kereta dari Johor Bahru ke situ bersama wanita berkenaan sebelum menyewa di pusat peranginan terbabit.
Ketika ditanya sama ada bercadang untuk bernikah, kedua-duanya hanya mendiamkan diri.
“Pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.
“Wanita itu dijamin oleh ahli keluarganya sementara menunggu tarikh perbicaraan di Mahkamah Syariah, manakala lelaki terbabit dijamin oleh isterinya sendiri,” katanya.
JAINJ menegaskan, pihaknya hanya menjalankan tugas menguatkuasakan undang-undang dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes khalwat boleh menghubungi talian 07-2076429 dan identiti pengadu akan dirahsiakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




