harisfadli@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis sedang mengesan beberapa lagi individu disyaki terbabit dengan penemuan 1.16 tan ketamin di atas kapal milik syarikat dari Malaysia, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu berkenaan sudah dikenal pasti bagi membantu siasatan lanjut berhubung penemuan dadah terbabit.
“Baru-baru ini kita ada buat tangkapan dua individu dan tempoh reman mereka sudah tamat dan dibebaskan dengan jaminan polis. Ada beberapa lagi individu yang kita akan kesan untuk bantu siasatan.
“Kita masih bekerjasama dengan Indonesia untuk dapatkan butiran lebih lanjut, jadi kes ini masih dalam proses siasatan lagi,” katanya pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, kapal Malaysia yang dipintas pihak berkuasa Indonesia bersama rampasan 1.16 tan ketamin dipercayai menerima bekalan dadah daripada sebuah kapal induk asing di Laut Andaman.
Hussein dilaporkan berkata, kapal induk asing itu dipercayai berdaftar di sebuah negara dalam rantau Segi Tiga Emas.
Susulan itu, polis menahan dua lelaki berusia 40-an di Johor Bahru dan direman sehingga 1 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 34 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Seorang daripada lelaki itu ialah pengarah syarikat yang juga pemilik asal kapal berkenaan, manakala seorang lagi ialah ejen atau broker penjualan kapal itu.
Hasil siasatan awal mendapati kapal itu dibeli pada April lalu untuk dijual semula selepas kerja baik pulih bagi mendapatkan keuntungan.
Kapal MT Global 168 itu kemudian dijual kepada sebuah syarikat yang beralamat di Yangon, Myanmar, pada 28 Jun lalu melalui ejen atau broker.
Kapal yang mengibarkan bendera Mongolia itu ditahan pada 20 Oktober lalu di perairan Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara, Indonesia, selepas pihak berkuasa menemukan 1,160 bungkusan ketamin seberat 1.16 tan dalam 58 guni.
Hussein sebelum ini turut memaklumkan kapal berkenaan dipercayai berlepas dari Pasir Gudang sebelum singgah di Pelabuhan Klang untuk mengisi bahan api, kemudian menuju ke Laut Andaman.
Kapal itu dipercayai menerima muatan dadah melalui kaedah pemindahan antara kapal atau ship-to-ship (STS) di tengah laut.
Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto dilaporkan berkata, rampasan itu dianggarkan bernilai 3.48 trilion rupiah (kira-kira RM785 juta), dengan lapan anak kapal turut ditahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




