Cemburu dipercayai punca pergaduhan, lelaki parah diserang kumpulan bersenjata parang

Cemburu dipercayai punca pergaduhan, lelaki parah diserang kumpulan bersenjata parang

am@hmetro.com.my

Pasir Gudang: Seorang lelaki parah dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki bersenjata di hadapan sebuah rumah pangsa di Taman Cendana di sini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada jam 12.18 tengah malam semalam.

Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Pasir Gudang bagi mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Bertindak atas maklumat, pada jam 4.34 pagi semalam sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam menahan seorang suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30-an.

“Polis juga merampas parang yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan.

“Berdasarkan semakan, suspek terbabit didapati memiliki lapan rekod kesalahan lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

“Malah hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Beliau berkata, dua kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh 20 tahun dan denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit.

Katanya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952 iaitu dengan sengaja memasukkan dadah berbahaya ke dalam diri sendiri dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM5,000 atau penjara tidak lebih dari 2 tahun dan perintah pengawasan selama dua hingga tiga tahun.

“Suspek dibenarkan untuk tahanan reman selama tempoh tujuh hari mulai 1 hingga 7 November.

“Berdasarkan siasatan, motif dan punca kejadian dipercayai akibat daripada perasaan cemburu dan pihak polis sedang giat mengesan individu lain terbabit dalam kejadian terbabit,” katanya.

Sebelum ini tular video kejadian gaduh berlaku di hadapan sebuah rumah pangsa.

Rakaman berdurasi selama 18 saat yang dimuatnaik menerusi Facebook memaparkan pergaduhan membabitkan lima individu menggunakan parang di hadapan sebuah kawasan rumah pangsapuri, Taman Cendana di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top