KKM bangunkan semula Program Perkhidmatan Doktor Udara dengan penubuhan unit khusus

KKM bangunkan semula Program Perkhidmatan Doktor Udara dengan penubuhan unit khusus

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membangunkan semula Program Perkhidmatan Doktor Udara (PDU), dengan mewujudkan unit khusus untuk menyelaras dan memantau perkhidmatan kesihatan bergerak secara lebih bersepadu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia meliputi perkhidmatan darat, air dan udara dari peringkat Ibu Pejabat KKM, Jabatan Kesihatan Negeri sehingga ke peringkat lapangan.

“Mekanisme ini bertujuan memastikan keperluan kontrak sentiasa mengambil kira standard keselamatan, keperluan operasi semasa termasuk aspek penyampaian perkhidmatan, kesesuaian aset, keselamatan operasi serta kebajikan petugas.

“Pemantauan turut diperkukuhkan melalui semakan berkala terhadap kontrak, keperluan perkhidmatan dan keperluan teknikal penerbangan dengan mendapatkan input daripada agensi serta pihak yang mempunyai kepakaran berkaitan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) dan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai langkah memperkukuh keselamatan operasi helikopter PDU susulan kejadian di Ulu Baram,

Sarawak yang meragut nyawa empat petugas KKM.

Dr Dzulkefly berkata, pelaksanaan PDU dibuat melalui kaedah perolehan perkhidmatan secara kontrak dengan syarikat penyedia perkhidmatan penerbangan dan helikopter yang digunakan adalah bukan aset milik KKM.

“Penentuan kelayakan sesuatu pesawat untuk beroperasi termasuk aspek kelayakan penerbangan adalah tertakluk kepada peraturan, standard dan kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Justeru, KKM tidak membuat penentuan kelayakan pesawat berdasarkan faktor usia semata-mata,” katanya.

Dari aspek kontrak, katanya, keperluan dan spesifikasi perkhidmatan ditetapkan berdasarkan keperluan operasi di lapangan, keselamatan serta kesesuaian perkhidmatan.

“Ia mengambil kira input daripada agensi serta pihak yang mempunyai kepakaran teknikal penerbangan,” katanya.

Mengulas mengenai pertanyaan Datuk Dr Suhaili Abdu Rahman (BEBAS-Labuan) berhubung cadangan menggantikan helikopter lama, katanya, penggantian aset tidak dilaksanakan secara langsung memandangkan helikopter itu bukan aset milik KKM.

“Bagaimanapun, KKM sedang menyemak dan memperkukuh keperluan serta spesifikasi kontrak PDU.

“Ia bagi memastikan pesawat disediakan penyedia perkhidmatan sesuai dengan keperluan operasi, keselamatan petugas dan pesakit serta keadaan geografi kawasan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, KKM mengambil langkah segera dengan menangguhkan sementara pengoperasian PDU di Sarawak bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan.

“KKM turut menubuhkan Jawatankuasa Bebas bagi menjalankan penilaian dalaman secara menyeluruh terhadap pelaksanaan perkhidmatan PDU.

“Pengoperasian semula PDU di Sarawak hanya akan dipertimbangkan selepas siasatan rasmi oleh pihak berkuasa selesai dan hasil penilaian menyeluruh oleh jawatankuasa bebas diperoleh,” katanya.

Pada 8 September lalu, helikopter BO-105 yang menjalankan operasi PDU terhempas berhampiran Long Lellang STOLport, Ulu Baram, ketika dalam perjalanan menjalankan tugasan perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman Sarawak.

Nahas itu mengorbankan lima individu di dalam helikopter berkenaan iaitu juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top