JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia memberkas tiga individu yang disyaki mengintip telefon Presiden Prabowo Subianto.
Penahanan itu disahkan pasukan polis pada Selasa selepas laporan media mendakwa salah seorang suspek dipercayai seorang pegawai kanan.
Ketua penyiasat polis, Asep Safrudin mendedahkan identiti ketiga-tiga individu sebagai LSP, ASN dan EH.
Mereka disiasat kerana didakwa ‘mencuri dengar’ komunikasi melalui nombor telefon Presiden dan beberapa tokoh penting yang lain.
Mangsa lain yang terlibat termasuk pegawai kerajaan, ahli politik, wartawan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli perniagaan.
Menurut Asep, nombor telefon termasuk milik Prabowo telah dipintas tanpa sebarang asas undang-undang atau proses siasatan yang sah.
Difahamkan, seorang pegawai polis yang menyedari perbuatan jenayah itu telah membuat laporan pada Jumaat lalu.
Sejak itu, polis telah mengambil keterangan daripada 10 orang saksi dan tiga saksi pakar serta merampas beberapa bahan bukti termasuk 11 telefon bimbit, sebuah iPad dan empat pemacu kilat USB.
Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun.
Dalam satu sidang media berasingan, Menteri Undang-Undang Indonesia, Yusril Ihza Mahendra mengenal pasti LSP sebagai seorang jeneral yang masih berkhidmat.
Media tempatan mendakwa individu tersebut ialah Listyo Sigit Prabowo yang tidak mempunyai pertalian keluarga dengan Prabowo.
Beliau dilantik sebagai Ketua Turus Presiden sebulan lalu selepas berkhidmat sebagai Ketua Polis Nasional selama lima tahun. – AFP



