PERLAWANAN akhir Piala FA 2026–2027 pada 16 Januari tahun depan akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL Ketiga Bagi Penggal 2025-2029 pada Selasa berikutan TM Stadium Nasional tidak dapat digunakan kerana kerja-kerja menaik taraf padang, trek balapan dan fasiliti giat dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2027.
“Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan untuk memilih SSI sebagai venue final Piala FA dengan mengambil kira beberapa faktor penting bagi memastikan kelancaran penganjuran perlawanan akhir berprestij itu.
“Ia termasuk keadaan permukaan padang, pengurusan logistik, kemudahan penginapan pasukan serta fasiliti stadium yang merangkumi pentas utama, ‘corporate suite’, akses ke stadium, aspek keselamatan serta operasi produksi siaran langsung.
“Dengan berkapasiti 35,109 penonton serta fasiliti lengkap dan terbaik menjadikan SSI adalah venue pilihan selepas penutupan TM Stadium Nasional bagi acara sukan ketika ini,” kata kenyataan itu.
Badan pengelola liga itu berkata, reputasi SSI sebagai venue bertaraf antarabangsa juga menjadi antara faktor pemilihan kerana stadium itu pernah menganjurkan perlawanan melibatkan Harimau Malaya termasuk ketika menentang Palestin bagi aksi persahabatan tier 1 dan aksi Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal tahun lalu.
Sebagai rekod, SSI juga pernah menjadi venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023 yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan keputusan 2-0 pada 22 Julai 2023.



