28 keluarga mangsa banjir Nepal layak terima faedah PERKESO, bantuan segera RM3,000

28 keluarga mangsa banjir Nepal layak terima faedah PERKESO, bantuan segera RM3,000

Sebanyak 28 keluarga mangsa tragedi banjir di kawasan sempadan Nepal–Tibet pada 26 Ogos lalu dikenal pasti layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, kelayakan itu dikenal pasti selepas PERKESO menyemak rekod 54 mangsa yang terbabit dalam tragedi berkenaan.

Menurutnya, 28 daripada jumlah itu memenuhi syarat kelayakan caruman bagi membolehkan faedah disalurkan kepada waris yang layak.

“Justeru, pada hari ini saya akan menyerahkan faedah PERKESO kepada 28 keluarga mangsa. Waris keluarga akan menerima bayaran faedah berjumlah RM3,000 sebagai bantuan kewangan segera.
“Mereka juga layak mendapat faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan. Proses pembayaran akan dilaksanakan sebaik sahaja maklumat dan dokumen berkaitan dilengkapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Faedah PERKESO kepada Mangsa Bencana Banjir Nepal di Menara PERKESO.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Ramanan berkata, semakan dilaksanakan secara teliti bagi memastikan waris yang berhak tidak tercicir daripada menerima perlindungan.

Beliau turut menghargai tindakan pantas Skuad PERKESO Prihatin dan warga agensi itu dalam menjejaki waris serta mendapatkan maklumat yang diperlukan.

“Mereka bertindak pantas dan proaktif untuk mengesan dan mendapatkan maklumat waris. Usaha ini akan diteruskan untuk mengesan serta melengkapkan maklumat waris yang layak di seluruh Malaysia,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta waris yang masih belum dihubungi supaya tampil ke pejabat PERKESO berhampiran bagi membolehkan urusan semakan dilakukan.

Bagi mangsa yang tidak mempunyai rekod caruman pula, PERKESO akan membantu dengan menyalurkan maklumat mereka kepada rangkaian 990 rakan strategik, termasuk 130 agensi berkaitan, menerusi Program Social Synergy.

“Inilah sebabnya saya percaya perlindungan keselamatan sosial bukan sekadar kemudahan, tetapi ia keadilan sosial yang merupakan hak asasi setiap pekerja, tanpa mengira sektor, jenis pekerjaan, status atau siapa majikannya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ramanan mengingatkan majikan bahawa pekerja domestik turut berhak mendapat perlindungan keselamatan sosial sebagaimana pekerja sektor lain.

Beliau berkata, semakan setakat 1 November 2026 mendapati 10,033 majikan pekerja domestik belum memenuhi kewajipan pendaftaran atau pembayaran caruman pekerja masing-masing.

Jumlah itu turut melibatkan 598 individu berprofil tinggi, termasuk VVIP, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pemegang jawatan penting dalam sektor awam dan swasta.

Selain itu, sebanyak 26,669 majikan lagi dikesan mempunyai rekod tunggakan caruman yang memerlukan semakan dan tindakan susulan.

“Kita tidak boleh bercakap tentang kebajikan pekerja sekiranya tanggungjawab paling asas terhadap pekerja di rumah sendiri masih diabaikan. Kepimpinan melalui teladan mesti bermula dengan pematuhan kepada undang-undang,” jelasnya.

Ramanan turut mengarahkan PERKESO memperkukuh usaha kesedaran, pemantauan dan penguatkuasaan, selain menggesa majikan menyemak status pendaftaran serta caruman pekerja domestik mereka.

“Sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan, ambillah langkah pembetulan dengan kadar segera,” tambahnya lagi.

Scroll to Top