Blackmores lancar multivitamin dengan Habbatus Sauda

Blackmores lancar multivitamin dengan Habbatus Sauda

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Blackmores Malaysia memperkenalkan multivitamin baharu yang menggabungkan 20 vitamin dan mineral bersama Habbatus Sauda atau minyak jintan hitam, sekali gus menjadi formulasi pertama syarikat itu yang dibangunkan berdasarkan pemahaman terhadap keperluan pengguna Muslim.

Produk berkenaan mencerminkan pendekatan baharu Blackmores dalam menggabungkan kepakaran sains dan bahan semula jadi dengan pemahaman terhadap keutamaan pengguna tempatan, khususnya masyarakat Islam di Malaysia.

Pengarah Urusan Asia Blackmores Group, Andrew Fuary, berkata pelancaran itu menjadi satu lagi pencapaian penting syarikat selepas memperoleh pensijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Disember 2025.

Beliau berkata, Blackmores ketika itu menjadi produk siap keluaran Australia pertama yang memperoleh pensijilan berkenaan serta mencerminkan komitmen syarikat menyediakan produk berkualiti tinggi dan beretika kepada pengguna Muslim.

“Multivitamin baharu ini merealisasikan inovasi berteraskan pengguna menerusi formula yang relevan dengan masyarakat tempatan dan diperakui Halal oleh JAKIM.

“Ia menjadi satu langkah bermakna dalam membangunkan penyelesaian yang lebih relevan dari segi budaya untuk rakyat Malaysia, di samping mengekalkan piawaian global Blackmores,” katanya.

Habbatus Sauda dipilih sebagai antara bahan utama formulasi itu berikutan kedudukannya dalam tradisi Islam sebagai bahan Sunnah serta kaitannya dengan amalan kesejahteraan masyarakat Muslim.

Produk berkenaan turut mengandungi nutrien utama seperti Vitamin C, zink serta Vitamin B1, B3 dan B5 yang membantu melegakan keletihan umum, selain menyokong sistem imun dan metabolisme tenaga.

Pengenalan produk itu turut mengambil kira cabaran gaya hidup moden yang boleh menjejaskan pengambilan nutrisi seimbang dalam kalangan masyarakat, terutama mereka yang berdepan jadual harian padat.

Menurut Tinjauan Malaysia Workforce Hopes & Fears 2025 oleh PwC, sebanyak 49 peratus pekerja di Malaysia melaporkan mengalami keletihan sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Keadaan itu dikaitkan dengan rutin harian yang menyebabkan waktu makan terlepas, pengambilan makanan secara tergesa-gesa dan kekurangan masa untuk menyediakan hidangan seimbang, sekali gus menyukarkan usaha memenuhi keperluan nutrisi harian melalui pemakanan semata-mata.

Pelancaran produk itu turut disaksikan penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ketua Pegawai Operasi Watsons Malaysia, Danny Hoh, bersama barisan pengurusan kanan kedua-dua syarikat, wakil media serta tetamu jemputan.

Selain itu, Watsons Malaysia dilantik sebagai rakan runcit eksklusif bagi pelancaran multivitamin berkenaan, dengan rangkaian kedai fizikal dan platform dalam taliannya menjadi saluran utama untuk mendekatkan produk itu kepada pengguna di seluruh negara.

Kerjasama itu menggabungkan kepakaran Blackmores dalam bidang kesihatan dan kesejahteraan dengan rangkaian pengedaran Watsons bagi memudahkan pengguna mendapatkan produk berkenaan.

Multivitamin baharu itu dijual pada harga runcit disyorkan RM55 bagi sebotol mengandungi 30 kapsul dengan dos pengambilan disyorkan sebanyak satu kapsul sehari.

Produk terbabit boleh didapati secara eksklusif di cawangan dan platform dalam talian Watsons serta kedai rasmi Blackmores di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top