Shah Alam: Air dari kolam takungan di Taman Seri Alam, Saujana Utama di Bandar Puncak Alam melimpah sehingga membanjiri kawasan perumahannya susulan hujan lebat sejak pukul 4 petang tadi.
Malah, limpahan berkenaan didakwa sudah pun memasuki rumah yang terletak di Jalan Seri Alam 1, sehingga memaksa penduduk mengalihkan, menyelamatkan barangan berharga dan memindahkan kenderaan ke tempat selamat.
Menerusi perkongsian video oleh Zamron Mat dalam Facebooknya, kolam tadahan itu penuh sehingga melimpah dan menyebabkan banjir serta menyifatkannya lebih teruk berbanding sebelum ini.
“Kolam tadahan di Taman Seri Alam dah overflow (melimpah), ia lebih teruk berbanding sebelum ini. Ada rumah yang dah naik (air). Memang melimpah lebih teruk berbanding sebelum ini dan ia menghala ke Jalan 3, 4 dan 14.
“Saya harap kepada semua tolong alihkan dahulu kenderaan dan pastikan keselamatan. Taman Seri Alam yang pernah banjir sebelum ini,” katanya dalam rakamannya di sini, hari ini.
Kolam takungan di kawasan perumahan itu pernah dilaporkan pecah sekurang-kurangnya tiga kali sejak 2015 akibat hujan lebat dan paras air di kolam itu melebihi daripada biasa.
Kejadian terbabit menyebabkan banjir di kawasan perumahan berkenaan terutama yang terletak berhampiran kolam itu di Jalan Seri Alam 1.
Kali pertama kejadian itu dilaporkan pada 2015 dan kemudian berulang pada Disember 2024 dan April tahun lalu.
Selain itu, turut ditenggelami air adalah jalan utama memasuki kawasan perumahan Iris di Hillpark, berhampiran Hospital Al Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam.
Berdasarkan perkongsian video oleh Firman Ismie dalam Facebook Bandar Puncak Alam Community, limpahan air didakwa berlaku susulan kolam tadahan yang terletak bersebelahan kawasan perumahan itu penuh.
“Tasik depan perumahan Iris, Hillpark melimpah ke jalan. Hati-hati semua,” ujarnya.
Banjir juga dilaporkan berlaku dekat sebuah kawasan tempat letak kereta di dalam UiTM Kampus Puncak Alam akibat limpahan air dari longkang berhampiran susulan hujan lebat yang turut melanda kawasan itu.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sedang dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut dan keperluan terhadap bantuan keselamatan dan pemindahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




