inasfarizah@nst.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia mempunyai bekalan beras mencukupi untuk menampung keperluan sekurang-kurangnya enam bulan, manakala bekalan ikan mampu bertahan sehingga lapan bulan sekiranya serangan siber menyebabkan rangkaian komunikasi negara terputus.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan bersedia memastikan bekalan makanan terus disalurkan secara fizikal dari ladang sekiranya sistem digital negara mengalami gangguan.
Berucap pada Forum Cendekiawan Malaysia MADANI ke-14 di sini, hari ini beliau berkata, ancaman peperangan siber ketika ini masih di peringkat awal, namun sudah menjadi realiti yang perlu diberikan perhatian serius.
“Peperangan pada masa depan ialah peperangan siber. Kita mesti bersedia dari segi mental untuk menghadapi perkara ini,” katanya.
Turut menyertai panel forum itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie Bhd, Mohd Haris Mohd Arshad; serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan PNB, Dr Sarena Che Omar.
Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Malaysia mempunyai bekalan makanan mencukupi untuk menampung keperluan negara selama enam bulan.
Sementara itu, laporan media menyebut beberapa negara termasuk Perancis, United Kingdom dan Jepun menasihatkan isi rumah supaya menyimpan bekalan keperluan mencukupi untuk sekurang-kurangnya tiga hari berikutan kebimbangan terhadap konflik, cuaca ekstrem dan gangguan perkhidmatan kritikal.
Mengulas lanjut, Mohamad menyamakan ancaman berkenaan dengan gambaran teknologi dalam filem Star Wars yang ditayangkan pada 1970-an.
Katanya, perkara yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai imaginasi kini semakin menjadi kenyataan.
Beliau turut meminta orang ramai membayangkan keadaan sekiranya negara terputus akses Internet dan siaran televisyen selama seminggu.
“Kita boleh tidur, tetapi bagaimana orang ramai hendak memesan beras, ikan atau mendapatkan bekalan makanan?” katanya.
Mohamad berkata, penguasaan kuasa global kini tidak lagi tertumpu kepada satu pihak sahaja apabila negara atau pihak lain turut berkemampuan mencabar kuasa besar menerusi serangan siber.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan Malaysia mempunyai persediaan mencukupi bagi menghadapi kemungkinan berkenaan.
“Dengan izin Allah, tidak perlu panik kerana kita mempunyai stok beras yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya enam bulan. Ketika ini, bekalan ikan pula mencukupi untuk lapan bulan, manakala bekalan makanan lain juga tersedia.
“Bagaimanapun, sekiranya berlaku serangan siber sehingga menyebabkan komunikasi terputus, kita bersedia menghantar bekalan makanan secara fizikal melalui ladang,” katanya.
Mohamad berkata, langkah persediaan perlu dilaksanakan lebih awal walaupun ancaman berkenaan tidak menjadi kenyataan.
“Jika perkara itu tidak berlaku, Alhamdulillah. Namun, persediaan mesti dilakukan dan kita perlu mula mendidik masyarakat supaya bersedia menghadapi peperangan siber pada masa depan,” katanya.
Mohamad turut mendakwa ancaman untuk memutuskan bekalan di seluruh dunia termasuk menerusi kaedah siber, sudah disuarakan oleh satu pihak sekiranya negara mereka diserang sekali lagi.
“Jika perkara ini berlaku, kita akan berdepan dengan Star Wars yang pertama di dunia,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Eropah antara wilayah yang paling teruk terjejas akibat peperangan siber berbanding negara di rantau ini.
Katanya, sejumlah besar sayur-sayuran terpaksa dibuang di wilayah berkenaan susulan gangguan bekalan elektrik akibat serangan siber sehingga menyebabkan makanan rosak.
Beliau turut memaklumkan kira-kira sejuta penduduk turun ke jalanan di Paris, dengan isu inflasi dan keterjaminan makanan antara perkara yang dibangkitkan.
“Makanan dan keselamatan kini menjadi agenda global. Kita boleh memiliki senjata nuklear dan senjata moden, tetapi bayangkan apa akan berlaku kepada sesebuah negara jika tiada makanan,” katanya.
Justeru, Mohamad menegaskan ancaman siber perlu dipandang serius dan berharap perkara sedemikian tidak berlaku di Malaysia.
“Kita perlu mengambil serius ancaman siber dan berharap ia tidak berlaku di Malaysia. Itulah harapan kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




