PDRM umum kenaikan pangkat 19 pegawai kanan

PDRM umum kenaikan pangkat 19 pegawai kanan

PETALING JAYA: Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, Datuk Mohammad Shaharul Md. Osman dilantik sebagai Ketua Polis Pahang yang baharu, berkuat kuasa 7 Disember depan.

Pelantikan itu antara pertukaran membabitkan 19 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diumumkan hari ini.

Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Mohammad Mashdik Yahya berkata, pertukaran itu turut melibatkan pelantikan Pesuruhjaya Polis Sabah dan Sarawak yang baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dengan memangku pangkat Komisioner.

“Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak pula dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak juga dengan memangku pangkat Komisioner,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Turut terlibat adalah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Mohd. Yusri Othman dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

“Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sabah, Datuk Abdul Fuad Abdul Malek pula dilantik sebagai Komander ESSCOM dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

“Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zailanni Amit dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak dengan memangku pangkat Deputi Komisioner,” katanya.

Pertukaran lain membabitkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Kepolisan Am), Bahagian Kepolisan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

“Jawatan beliau di Kuala Lumpur akan diisi Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Suffian Abdullah yang memangku pangkat Asisten Komisioner.

“Pengarah Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Asisten Komisioner Yusri Mahmud pula dilantik sebagai Komander 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas di Ulu Kinta, Perak dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner,” katanya.

Turut terbabit ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, manakala Superintendan Yampil anak Garai dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Lahad Datu.

Kedua-duanya akan memangku pangkat Asisten Komisioner. – UTUSAN

Scroll to Top