SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) menggesa kerajaan, khususnya pihak berkuasa yang bertanggungjawab supaya mengambil perhatian serius kenyataan Istana Negara dan memastikan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dilaksanakan dengan segera serta penuh tertib selaras kehendak Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya memandang serius tindakan menangguhkan pelaksanaan titah perintah Yang di-Pertuan Agong berkaitan keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman pemenjaraannya secara tahanan di rumah.
Menurut Zambry, perkara tersebut tidak boleh dilihat sebagai persoalan pentadbiran atau perbezaan tafsiran undang-undang semata-mata.
“Ia menyentuh persoalan yang jauh lebih besar, iaitu penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan, kewibawaan titah Yang di-Pertuan Agong serta prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas sistem pemerintahan negara.
“Kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan hari ini hendaklah diberikan perhatian dan diambil dengan penuh keseriusan.
“Penegasan Istana Negara bahawa perintah pengampunan bersyarat tersebut adalah jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang kekaburan, malah semua syarat ditetapkan telah dipenuhi tidak seharusnya dipandang ringan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Zambry menambah, penegasan Istana Negara bahawa ‘sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong’ merupakan peringatan yang amat serius kepada semua pihak.
ARTIKEL BERKAITAN:Agong titah tidak sepatutnya timbul kekeliruan isu tahanan rumah Najib
Peguam Negara didesak tarik balik arahan tangguh tahanan rumah Najib – Veteran UMNO
Pemuda UMNO negeri, bahagian lapor polis isu ingkar titah Agong
UMNO, Pas Machang lapor polis isu pengampunan Najib
Keputusan pengampunan mesti dilaksana ikut undang-undang – Ka Siong
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Yang di-Pertuan Agong menitahkan bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat membolehkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah menjurus ke arah mengingkari perintahnya.
Baginda bertitah, tidak sepatutnya timbul kekeliruan dalam mentafsir perintah berkenaan kerana keputusan yang diperkenankan itu jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti.
Susulan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan sambil menegaskan tidak pernah mempertikai, mengetepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat diperkenan Yang di-Pertuan Agong kepada bekas ahli Parlimen Pekan terbabit.
Jelas AGC, pihaknya sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang, menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong serta mengiktiraf prerogatif pengampunan baginda sebagaimana diperuntukkan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.



