Dadah sasar pelajar, pembekal beroperasi di media sosial

Dadah sasar pelajar, pembekal beroperasi di media sosial

KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan di pintu pagar sekolah tidak lagi memadai untuk membendung ancaman dadah dalam kalangan pelajar, kini dipercayai boleh diperoleh menerusi pembelian dalam talian sebelum dihantar terus ke rumah melalui perkhidmatan pos.

Perkembangan itu mendedahkan ruang baharu yang boleh dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab untuk mendekati golongan pelajar, sekali gus menjadikan usaha membanteras penyalahgunaan dadah tidak boleh lagi tertumpu kepada pengawasan di kawasan sekolah semata-mata.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Negeri Pahang, Daniel Khoo berkata, kes pelajar sekolah menengah di Nilai, Negeri Sembilan yang disyaki menghisap vape mengandungi dadah perlu dilihat sebagai petunjuk kepada kemungkinan wujudnya rangkaian pembekalan yang lebih luas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, siasatan perlu menjurus kepada sumber bahan terlarang itu, termasuk pihak yang menjual, membekalkan dan mengedarkannya kepada pelajar, bukannya sekadar mengambil tindakan disiplin terhadap individu yang terlibat.

“Jika bahan berbahaya ini boleh dibeli melalui media sosial, dihantar ke rumah dan kemudian diserahkan kepada pelajar lain, kita perlu melihat bagaimana keseluruhan rantaian pembekalan itu beroperasi.

“Persoalannya, siapa yang menjualnya, bagaimana pelajar mendapat akses dan adakah terdapat pihak yang sengaja menyasarkan golongan bawah umur?” katanya.

Semalam, polis menahan dua remaja, termasuk rakan sekolah kepada pelajar yang dipercayai khayal selepas menghisap vape mengandungi dadah di Nilai, Negeri Sembilan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan melibatkan suspek berusia 17 tahun yang merupakan rakan sekolah mangsa, serta seorang lelaki berumur 18 tahun yang tidak bersekolah.

Siasatan awal mendapati kedua-dua individu berkenaan dipercayai bertindak sebagai perantara yang membekalkan vape mengandungi bahan terlarang kepada mangsa sebelum kejadian berkenaan tular.

Menurut Daniel Khoo yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Majlis Kebangsaan Skuad Sahabat JPJ (SSJ), kejadian itu tidak wajar diletakkan sepenuhnya di bahu pihak sekolah kerana kawalan fizikal tidak mampu menghalang transaksi yang berlaku di luar kawasan persekolahan.

Katanya, sekolah mempunyai tanggungjawab memantau pergerakan individu mencurigakan dan perubahan tingkah laku pelajar, namun pengaruh rakan sebaya serta aktiviti mereka di luar waktu persekolahan lebih sukar dikesan.

“Jika anak didapati menggunakan vape, ibu bapa perlu menyiasat puncanya dan memahami persekitaran mereka terlebih dahulu. Jangan terus membuat kesimpulan, sebaliknya kenal pasti sama ada mereka terdedah kepada pengaruh rakan atau pihak yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pihak sekolah supaya mengutamakan pemeriksaan kesihatan sekiranya pelajar menunjukkan gejala luar biasa, selain mendapatkan bantuan perubatan dan memaklumkan ibu bapa tanpa membuat andaian awal.

Pelajar yang dikenal pasti terdedah kepada bahan terlarang juga perlu diberikan khidmat kaunseling profesional dan pemantauan susulan bagi mengelakkan mereka terus terjerumus.

“Sekolah boleh memperketat pengurusan, tetapi tidak boleh bergantung pada sekolah semata-mata. Kita mesti menyiasat dari mana datangnya bahan berbahaya ini dan siapa yang membekalkannya, barulah generasi akan datang dapat dilindungi dari puncanya,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top