syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menegaskan keputusannya untuk melepaskan basikal kesayangannya pada harga RM42,000 bukanlah kerana dia sedang berdepan masalah kewangan.
Namun, ia perlu dilepaskan memandangkan basikal itu jarang digunakan dan ia dapat membantu menampung perbelanjaan sepanjang dia berada di luar negara nanti.
“Saya jual basikal bukan sebab tidak ada ada duit, cuma mahu menampung perbelanjaan lain. Lagi pun basikal terbabit kurang digunakan.
“Saya juga ada beberapa jenis basikal lain dan jika menjualnya, ia boleh menampung perbelanjaan tiket penerbangan dan penginapan ketika menyertai kejohanan nanti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hafizh mendedahkan beberapa pembeli sudah merisik untuk mendapatkan basikal terbabit namun ketika ini masih belum ada kata putus mengenai ‘pemilik’ baharu basikal terbabit.
“Adalah dua atau tiga orang tanya perincian mengenai basikal itu. Tetapi tiadalah yang tanya untuk beli terus kerana mereka hanya mahu dapatkan maklumat lanjut terlebih dahulu.
“Saya pun terlupa letakkan perincian basikal itu. Jadi belum pastilah sebab mahu jual basikal ini pun, ambil masa lama sikit,” katanya.
Terdahulu, perkongsian Hafizh di ruangan Instastory yang mahu menjual basikal kesayangannya dengan harga RM42,000 menarik perhatian umum.
Ini kerana apa yang menjadi perhatian adalah apabila dia menulis mahu menjual basikal berkenaan sebab mahu berlumba.
“TT Shiv kepunyaan saya untuk dijual…baru digunakan 200 kilometer. RM42,000 boleh runding.. hubungi saya jika anda berminat. Jual sebab nak race (berlumba),” tulis Hafizh beserta gambar basikalnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




