KUCHING: Satu sesi libat urus mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara maya, diadakan antara Kementerian Kewangan dan pemimpin kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), petang tadi.
Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataan malam ini memaklumkan, sesi selama sejam itu dipengerusikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Menteri Penyelaras PPN, bertujuan memperkukuhkan keberkesanan PPN.
Barisan pemimpin GPS pada sesi itu diketuai Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan ketiga-tiga timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Muda di kementerian sama, Datuk Dr Penguang Manggil.
“Kerajaan Sarawak memberi beberapa input daripada perspektif Sarawak, ke arah memperkukuhkan ekonomi negeri dengan mengambil kira impak pandemik COVID-19 dan sumbangan kepada ekonomi nasional,” kata kenyataan itu.
Antara perkara dibentangkan termasuk program pemberian vaksin di Sarawak yang sedang berjalan lancar, program pembangunan infrastruktur, pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), industri pengeluaran dan pelaburan asing, sebagai teras untuk mempertingkatkan ekonomi Sarawak.
Faktor teras juga merangkumi potensi pertanian berdasarkan ‘internet of things’ (IOT) dan ekonomi berasaskan kelestarian sumber serta keselamatan di perbatasan yang amat panjang antara Sarawak dan Kalimantan, yang mempunyai kesan mendalam ke atas sosioekonomi Sarawak.
Turut disentuh mengenai pelaksanaan fasa PPN yang harus disesuaikan dengan keadaan di Sarawak yang hampir sama besar dengan Semenanjung. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




