Issey sebak tinggalkan Suria FM

Issey sebak tinggalkan Suria FM

bhhip@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penyampai radio segmen Team Pagi Suria, Issey Fazlisham, 34, membuat keputusan tidak menyambung kontrak bersama stesen Suria FM selepas tiga tahun berkhidmat.

Kemunculan Issey bersama Ajak dan Fizi Ali buat kali terakhir, pagi tadi berikutan pelakon dan pelawak itu akan menghabiskan cuti sebelum kontrak tamat secara rasmi pada 31 Julai depan.

Issey atau nama sebenarnya, Fazlisham Mat Hussin berkata, dia masih menyayangi stesen radio berkenaan, namun keputusan terpaksa dilakukan kerana mempunyai perancangan lain.

“Kenangan selama tiga tahun bersama pasukan Suria FM akan menjadi memori indah yang tidak mampu dilupakan. Saya selesa dengan majikan, pengurusan dan rakan penyampai lain.

“Pendek kata, saya tiada apa-apa masalah bersama pasukan Suria FM. Cuma, saya mempunyai perancangan lain. Apakah perancangannya, saya akan umumkan apabila tiba masa yang sesuai.

“Jiwa sudah sebati dengan tugasan dalam bidang penyiaran radio. Bukan sebab saya bertugas awal pagi menjadi punca kekangan dan saya meninggalkan stesen Suria FM.

“Saya tiada masalah dengan jadual kerja malah seronok dapat bertugas pada waktu pagi,” katanya kepada BH Online.

Mengulas adakah menerima lamaran stesen radio lain, Issey berkata, setakat ini, dia tidak boleh memberikan sebarang kenyataan dalam masa terdekat.

“Seperti dikatakan, saya mempunyai perancangan sendiri, tetapi saya tidak boleh mendedahkan perancangan ini buat masa sekarang. Apabila keadaan sudah okay, saya sendiri akan beritahu.

“Cuma, saya tidak akan menolak andai ada rezeki bergelar penyampai radio. Ini kerana saya sukakan bidang penyiaran radio,” katanya.

Sebelum menyertai Team Pagi Suria, Issey pernah bergelar penyampai radio Hot FM apabila mengendalikan segmen Jam Hot selama dua tahun pada 2016, sebelum dilamar stesen Suria FM.

Sementara itu, Suria FM dalam kenyataan rasmi berkata, setakat ini, mereka masih belum mempunyai pengganti Issey.

“Buat sementara waktu, segmen pagi akan dikendalikan oleh Ajak dan Fizi.

“Suria FM menghormati keputusan Issey yang mempunyai perancangan lain untuk kerjayanya. Kami berterima kasih atas khidmat selama tiga tahun sebagai penyampai radio Suria FM.

“Sebarang perancangan mengenai pengganti Issey akan kami umumkan apabila tiba masanya,” kata kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top