Kane milik Tottenham

Kane milik Tottenham

LONDON: Pengurus Tottenham, Nuno Espirito Santo memberi amaran kepada kelab yang memburu Harry Kane tatkala masa depan kapten England masih menimbulkan tanda tanya.

Penyerang itu dilaporkan mahu meninggalkan Spurs musim ini dalam misi meraih trofi pertama dalam kariernya.

Walaupun memenangi Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, Spurs gagal layak ke Liga Juara-Juara untuk dua musim berturut-turut.

Dan ditambah kekalahan England pada final Euro 2020 selepas tewas kepada Itali Isnin lalu, bermakna pemain berusia 27 tahun itu terus kemarau kejuaraan utama dalam kariernya bersama kelab dan negaranya.

Juara EPL, Manchester City dikaitkan dengan Kane bagi menggantikan penjaring terbanyak, Sergio Aguero yang berpindah ke Barcelona menerusi perpindahan percuma.

Namun, Nuno yang menggantikan Jose Mourinho percaya pemain paling bernilai kelab itu akan kembali menjalani latihan pramusim selepas pulang bercuti.

“Harry pemain kami. Tak perlu bercakap perkara lain,” kata jurulatih dari Portugal itu yang dilantik 30 Jun lalu selepas dua bulan pemecatan Mourinho.

“Sekarang saat buat Harry memulihkan semula tenaga. Saya tak sabar melihat dia menyertai kami. Saya gembira bekerja dengan semua pemain.

“Harry antara pemain terbaik dunia. Itu sahaja yang boleh saya perkatakan,” katanya. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top