2 lelaki warga asing memakai gelang merah jambu bebas berjalan

2 lelaki warga asing memakai gelang merah jambu bebas berjalan

bhnews@news.com.my

REMBAU: Dua lelaki warga asing memakai gelang merah jambu yang dilihat berjalan bebas di tempat awam, didapati sedang menuju ke bas yang disediakan majikan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu adalah pekerja di sebuah kilang dalam daerah Rembau.

Katanya, ketika kejadian, kedua-dua lelaki itu sedang menuju ke bas yang disediakan majikan bagi membawa pekerja menjalani ujan saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Rembau.

“Kami percaya berlaku salah faham dan kegusaran dalam kalangan masyarakat berhubung pergerakan kedua-dua lelaki ini.

“Kami berjumpa dengan wakil penduduk kawasan bersama individu lelaki yang merakam video bagi menjelaskan situasi sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas penularan video berdurasi 43 saat di pelbagai aplikasi dan media sosial memaparkan dua warga asing berkeliaran walaupun mereka memakai Gelang Pengawasan.

Hazri berkata, beliau sudah menemui pihak kilang dan memberi amaran agar lebih bertanggungjawab.

Katanya, pihak kilang diingatkan memastikan kemudahan semua pekerja dalam kawasan itu diberi perhatian tanpa mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pergerakan pekerja yang dikuarantin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top