207 pesakit meninggal dunia, jumlah tertinggi

207 pesakit meninggal dunia, jumlah tertinggi

bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Wabak COVID-19 semakin membimbangkan selepas mencatatkan jumlah tertinggi bagi pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 207 orang meninggal dunia, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 1,009 pesakit dirawat di ICU dengan 524 daripada mereka masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, jumlah itu daripada 165,840 kes keseluruhan yang masih aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19.

Beliau berkata, 207 kes kematian, menjadikan jumlah keseluruhan angka korban di negara ini melebihi 8,000 individu, iaitu 8,201 pesakit.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian hari ini membabitkan 184 warganegara dengan 23 lagi warga asing.

“Selangor kekal mencatatkan kes kematian tertinggi dengan 57 kes, Kuala Lumpur (52), Johor (24), Kedah (19) dan Melaka (18).

“Selain itu, Negeri Sembilan dengan 14 kes kematian, Pahang (tujuh), Sabah (enam), Perak (lima), Pulau Pinang (tiga) dan dua kes di Terengganu,” katanya hari ini.

Mengenai jangkitan baharu, Dr Noor Hisham berkata, ada sedikit penurunan iaitu 14,516 kes hari ini berbanding semalam apabila negara mencatatkan angka tertinggi dengan 17,045 pesakit baharu.

Daripada kes yang dilaporkan hari ini, beliau berkata, sebanyak 7,216 kes atau 49.7 peratus berada dalam kategori satu, iaitu tidak mempunyai gejala dan 95.6 peratus daripada mereka tidak divaksin.

Selain itu, katanya, 7,045 kes dalam kategori dua iaitu mempunyai gejala ringan. Daripada jumlah dalam kategori ini, Dr Noor Hisham berkata, 87.6 peratus tidak divaksin.

“Sebanyak 83 kes berada dalam kategori tiga, iaitu mempunyai radang paru-paru dengan 67.5 peratus tidak mempunyai sejarah vaksinasi.

“Bagi kategori empat, terdapat 77 kes yang dikesan iaitu mempunyai radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen. Pesakit dalam kategori ini 85.7 peratus tidak mempunyai sejarah vaksinasi.

“Sebanyak 95 kes pula dalam kategori lima, iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan. Kes dalam kategori ini 97.9 peratus tidak mempunyai sejarah vaksinasi,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pertambahan kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 1,027,954 kes.

Katanya, empat negeri masing-masing melaporkan pertambahan kes empat angka iaitu Selangor dengan 6,508 kes, diikuti Johor (1,449), Kuala Lumpur (1,425) dan Kedah (1,160).

“Negeri lain yang mencatat pertambahan kes ialah Sabah dengan 720 kes baharu, Perak (590), Negeri Sembilan (452), Pulau Pinang (402), Pahang (386), Melaka (373), Sarawak (356), Kelantan (346) dan Terengganu (245).

“Putrajaya pula mencatatkan 94 kes baharu, Labuan (lapan) dan Perlis (dua),” katanya.

Mengenai 33 kluster baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata, 21 daripadanya kluster di tempat kerja, 10 dalam kalangan komuniti, manakala dua membabitkan institusi pendidikan.

Katanya, tujuh kluster dikesan di Selangor, masing-masing empat kluster di Selangor dan Kelantan, masing-masing tiga kluster di Kuala Lumpur dan Perak, manakala dua kluster masing-masing di Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Pahang dan Sarawak.

“Satu kluster masing-masing dikesan di Negeri Sembilan dan Terengganu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga tengah hari semalam, terdapat 9,372 pesakit sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih di negara ini 853,913 orang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top