Desak pengeluar vaksin kekalkan harga rendah

Desak pengeluar vaksin kekalkan harga rendah

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam, menggesa syarikat pengeluar vaksin COVID-19 supaya mengekalkan harga yang rendah serta berpatutan.

Gesaan itu disuarakan WHO selepas terdapat laporan bahawa dua syarikat pengeluar vaksin akan menaikkan kos yang dikenakan ke atas Kesatuan Eropah (EU).

Menurut laporan, Pfizer-BioNTech dan Moderna menaikkan harga untuk vaksin mRNA berikutan mereka menambahbaik untuk disesuaikan dengan varian baharu virus COVID-19.

Akhbar Financial Times yang mendedahkan perkara itu Ahad lalu, selepas memetik maklumat daripada kontrak yang dimeterai bersama EU, harga vaksin Pfizer akan melonjak daripada 15.5 euro kepada 19.5 euro (RM77.47 kepada RM97.11) manakala Moderna pula dari 19 euro kepada 21.5 euro (RM94.99 kepada RM107.45).

Penolong Ketua Pengarah bagi akses ubat-ubatan, vaksin dan farmaseutikal WHO, Mariangela Simao, berkata adalah amat penting bagi dasar syarikat terbabit untuk meletakkan harga berpatutan.

Beliau berkata, kedua-dua Pfizer dan Moderna meningkatkan kapasiti pembuatan dan kecekapan pengeluaran serta menambah kilang bagi tujuan terbabit.

“Dalam situasi pasaran normal, ia kebiasaannya membawa kepada penurunan harga dan bukan sebaliknya.

“Kita mempunyai pasaran di mana permintaan adalah sangat tinggi jika dibandingkan dengan pengeluaran.

“Justeru, WHO mahu syarikat ini untuk terus mengekalkan harga yang rendah dan berpatutan,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurut maklumat AFP yang dipetik daripada sumber rasmi, separuh daripada populasi di EU sudah lengkap menerima suntikan vaksin. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top