Guardiola sahkan Messi tiada dalam perancangan City

Guardiola sahkan Messi tiada dalam perancangan City

LONDON: Pep Guardiola menolak dakwaan perpindahan Lionel Messi ke Manchester City selepas pengumuman mengejut Barcelona bahawa bintang Argentina itu akan meninggalkan Camp Nou.

Bos City, Guardiola adalah pengurus Messi di Barcelona selama empat tahun yang berjaya dan juara Liga Perdana Inggeris itu pantas dikaitkan dengan penyerang berkenaan berikutan berita itu.

Namun, Guardiola baru sahaja mencipta rekod Britain bernilai £100 juta (RM586 juta) untuk mendapatkan perancang Aston Villa, Jack Grealish ketika Messi secara tiba-tiba menjadi ejen bebas.

Ketika sidang media hari ini, Guardiola menegaskan bahawa bergabung semula dengan Messi tiada dalam perancangannya buat masa ini.

“Sekarang ini bukan dalam tumpuan kami (untuk menandatangani Messi), sama sekali tidak,” kata Guardiola.

“Kami membelanjakan £40 juta (RM234 juta) untuk Jack Grealish. Kami bayar £100 juta (RM586 juta) dan £60 juta (RM351 juta) pada tahun lalu dan dia akan menggunakan nombor 10 kerana kami yakin dengan Jack Grealish.

“Kelihatan seperti ia diselesaikan dengan baik untuk (Messi) terus bersama Barcelona. Akhirnya, ini adalah kejutan bagi semua orang, termasuk saya, tetapi saya rasa Laporta sudah menjelaskan, hari ini, apa puncanya.”

Presiden Barcelona, Joan Laporta berkata kelab itu terpaksa menamatkan hubungan panjang dengan Messi kerana masalah kewangan “mengerikan” yang diwarisi dari pengurusan sebelumnya.

Messi, 34, tamat kontrak pada akhir musim lalu, namun kelihatan bersedia menandatangani perjanjian baharu sebelum pengumumannya meninggalkan kelab itu dibuat secara tiba-tiba. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top