PORT-AU-PRINCE: Anggota penyelamat giat melaksanakan operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi melanda barat Haiti dengan kekuatan 7.2 skala Richter, mengorbankan sekurang-kurangnya 304 orang dan memusnahkan banyak bangunan.
Negara kepulauan Caribbean itu ketika ini masih lagi dalam pemulihan selepas teruk dilanda gempa bumi pada 2010.
Pusat gempa yang menggegarkan kediaman sehingga memaksa penduduk setempat menyelamatkan diri berlaku kira-kira 160 kilometer (km) sebelah barat ibu kota Port-au-Prince yang berkepadatan tinggi.
“Banyak rumah musnah, orang mati dan ada di hospital,” kata Christella Saint Hilaire, 21, yang tinggal berdekatan pusat gempa kepada AFP.
“Saya berada dalam rumah ketika gempa. Saya berdekatan tingkap dan saya lihat semua jatuh. Bahagian dinding yang roboh menimpa belakang saya tetapi ia tak mencederakan saya,” katanya.
Berdasarkan imej yang dikongsikan oleh seorang saksi memaparkan gempa bumi itu merosakkan sekolah termasuk rumah di semenanjung barat daya Haiti.
Menurut agensi pertahanan awam negara itu, beberapa jam selepas gegaran, jumlah kematian meningkat kepada 304 orang dari 29 kematian yang disahkan.
Jelas agensi itu, ratusan mangsa tercedera dan hilang serta di selatan negara terbabit yang juga pusat gempa, terdapat 160 orang maut.
“Respons awal oleh penyelamat profesional dan orang awam , ramai orang ditarik dari runtuhan. Hospital terus menerima mangsa yang tercedera,” tambahnya.
Berikutan ribuan yang cedera, hospital di wilayah paling teruk terjejas akibat dilanda gempa berusaha untuk memberi rawatan kecemasan.
Sekurang-kurangnya hospital di tiga kawasan perbandaran Pestel, Corailles dan Roseaux penuh, menurut Ketua Agensi Pertahanan Awam, Jerry Chandler.
Haiti mengisytihar kecemasan negara susulan bencana yang melanda dan pegawai Rumah Putih berkata Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sudah meluluskan bantuan segera ke negara itu.
“Dalam tempoh yang cukup mencabar bagi penduduk Haiti, saya sedih dengan gempa bumi yang dahsyat,” kata Biden sambil menambah AS bersedia untuk menilai jumlah kerosakan dan membantu usaha memulihkan kembali situasi di negara berkenaan.
Perdana Menteri Haiti, Ariel Henry, yang meninjau kawasan rosak akibat bencana dengan menaiki helikopter mengisytihar kecemasan negara untuk tempoh sebulan dan menyeru penduduk negara itu bersolidariti dan tidak panik. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




