STL kekal tanpa kehadiran penonton

Kuala Lumpur: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak bercadang untuk memohon kebenaran agar membenarkan sejumlah penonton memasuki venue bagi saingan Liga Sepak Takraw (STL) daripada pihak kerajaan .

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata bahawa tiada keperluan pada masa ini bagi penonton menghadiri venue sepak takraw meskipun dilihat ada permintaan daripada pihak tertentu.

“Saya ada menerima cadangan supaya memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya penonton dibenarkan memasuki venue pada perlawanan STL. Namun, selepas mengadakan perbincangan bersama, saya berpendapat perkara terbabit tiada keperluan selain mahu mengelak tercetusnya penularan COVID-19”, katanya.

“Walaupun tiada penonton, kehangatan STL tetap dirasai malah pemain juga mempamerkan aksi memuaskan sepanjang saingan liga berlangsung”, katanya lagi ketika dihubungi media Harian Metro.

Beliau juga berkata, siaran secara langsung melibatkan stesen televisyen swasta dan atas talian sudah memadai untuk peminat sukan tradisi berkenaan bagi melepaskan kerinduan.

Beliau menambah bahawa jumlah tontonan STL menerusi stesen televisyen swasta dan atas talian mencatatkan jutaan tontonan. Justeru, ia menunjukkan orang ramai turut memanfaatkan platform itu bagi mengikuti perkembangan sukan tersebut.

“Jumlah tontonan yang tinggi adalah petanda positif terutama dapat menarik minat penaja pasukan pada masa akan datang”, tambahnya lagi.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top