BAM optimis Malaysia mampu mara ke suku akhir

BAM optimis Malaysia mampu mara ke suku akhir

helmi.talkah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) optimis skuad lelaki negara berpeluang cerah melangkah ke suku akhir saingan Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark pada Oktober ini selepas diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Kanada.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann bagaimanapun, berkata pemain negara tetap perlu berwaspada dengan ancaman England yang dilihat mampu menafikan peluang Malaysia bagi menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai dua pasukan teratas.

“Buat masa ini sasaran kami adalah untuk menamatkan saingan kumpulan di kedudukan dua teratas bagi melangkah ke suku akhir. Saya fikir peluang (untuk ke suku akhir) itu cerah tetapi pemain perlu mempamerkan prestasi terbaik mereka.

“Saya fikir kita tidak akan berdepan laluan mudah apabila menentang England kerana mereka memiliki dua beregu yang agak seimbang dan kita perlu berwaspada. Kita akan dibarisi pemain muda. Apa yang saya bimbang adalah mereka tidak dapat kawal tekanan. Ini sesuatu yang kita perlu berhati-hati.

“Mengenai pemilihan pemain, kami belum buat keputusan lagi sama ada akan menyenaraikan wakil profesional atau tidak. Saya akan berbincang dulu dengan barisan kejurulatihan yang lain dan kami akan putuskan apa yang terbaik.

“Namun, kemungkinan besar kami akan mengadakan perlawanan dalaman bagi menentukan ranking pemain negara,” katanya kepada BH Sukan.

Dalam undian yang dijalankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini, juara bertahan, China diundi dalam Kumpulan C bersama India, Belanda dan Tahiti manakala Indonesia, Taiwan, Algeria dan Thailand dalam Kumpulan A.

Aksi bagi Kumpulan B bakal menyaksikan persaingan antara Denmark, Korea Selatan, Perancis dan Jerman. Juara dan naib juara setiap kumpulan layak ke suku akhir.

Sementara itu, mengulas mengenai undian skuad wanita dalam saingan Piala Uber yang menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama China, Denmark dan Kanada, Choong Hann mengharapkan akan ada kejutan dilakukan barisan pemain negara.

“Kita perlu sedaya upaya cuba untuk mengatasi Denmark dan Kanada bagi membolehkan kita mara ke suku akhir. Saya harap akan ada kejutan daripada pemain kita.

“Kami akan membariskan pemain muda dan kami akan menilai kemampuan keseluruhan pasukan negara kali ini bagi merancang strategi berdepan pasukan lawan,” katanya.

Jepun yang akan tampil sebagai juara bertahan bagi saingan Piala Uber berada dalam Kumpulan A bersama Indonesia, Jerman dan Perancis manakala Kumpulan B akan membabitkan persaingan antara Thailand, India, Sepanyol dan Scotland.

Korea Selatan, Taiwan, Tahiti dan Mesir pula diundi dalam Kumpulan C.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top