MADRID: Toni Kroos percaya kehadiran Lionel Messi di Paris Saint-Germain mampu memberi manfaat kepada Real Madrid dalam dua hal.
Pertama, bekas pasukan Messi Barcelona akan menjadi semakin lemah dan kedua, ketibaan Kylian Mbappe ke Madrid.
Pemain tengah Jerman itu percaya perpindahan Messi akan membuka jalan untuk Mbappe menyertai Los Blancos, kelab disokong penyerang Perancis itu.
“Kita akan lihat bagaimana. Mungkin perpindahan itu (Messi ke PSG) bagus untuk kita kerana pesaing utama kami kehilangan pemain terbaik mereka.
“Dan mungkin perkara lebih baik lagi akan berlaku. Mungkin seorang pemain dari Paris akan menyertai kami.
“Jika ia berlaku – saya tidak pasti – perpindahan Messi ini sudah pasti memberi kelebihan kepada kami,” kata Kroos.
Mbappe, 22, masih belum menandatangani lanjutan kontrak bersama PSG yang akan berakhir 10 bulan lagi.
Spekulasi berkenaan perpindahan Mbappe semakin memuncak terutama selepas kehadiran Messi.
PSG dan Real dilaporkan akan membincangkan soal perpindahan penyerang muda Perancis itu.
Sementara itu Kroos, yang pernah bergandingan dengan Cristiano Ronaldo di Real dari tahun 2014 hingga 2018 berkata, bintang Portugal itu adalah legenda yang hebat berbanding Messi.
“Memang saya berat sebelas kerana dia membantu kami memenangi banyak kejuaraan. Dia bukan saja rakan sepasukan, tetapi juga jiran saya.
“Sebab itu pantang bagi saya untuk mengatakan Messi pemain terbaik sepanjang zaman,” katanya. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd
