Wanita maut terjatuh dari tren

Wanita maut terjatuh dari tren

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut selepas dipercayai terjatuh dari tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen LRT Sentul Timur, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kejadian berkenaan berlaku pada jam 4.30 petang.

“Wanita itu dilihat berjalan di atas tren yang tidak bergerak. Dia juga duduk di besi penyambung gerabak dan terjatuh apabila tren mula bergerak sebelum digilis.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui dan kes masih dalam siasatan,” katanya malam ini.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5 petang untuk mengeluarkan mayat mangsa.

“Kerja mengeluarkan mayat selesai kira-kira setengah jam kemudian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rapid Rail Sdn Bhd menerusi kenyataan malam ini, berkata kejadian itu mengakibatkan gangguan perkhidmatan laluan LRT Ampang dan Sri Petaling.

Katanya, laluan Stesen Sentul Timur ke Stesen Pusat Dagangan Dunia (WTC) terpaksa dihentikan dan syarikat itu menyediakan bas pengantara untuk kemudahan pengguna dengan kekerapan 30 minit.

“Kami meminta maaf kepada pengguna atas gangguan perkhidmatan ini. Untuk keselamatan, Stesen LRT Sentul Timur dan WTC akan terus ditutup sehingga diberitahu kelak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top