OSLO: Taliban dilaporkan mula menahan warga Afghanistan yang disenarai hitam terutama yang pernah bertugas dalam peranan utama ketika pemerintahan kerajaan Afghanistan sebelumnya.
Selain itu, mereka yang bekerja dengan pasukan tentera asing pimpinan Amerika Syarikat (AS) dan di bawah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut menjadi sasaran, menurut laporan kumpulan perisik Norway.
Pusat Analisis Global Norway, RHIPTO, mendakwa Taliban memburu individu yang ada kaitan dengan pentadbiran sebelumnya yang tumbang pada minggu lalu, sebaik mereka menguasai Kabul.
“Taliban sedang meningkatkan usaha memburu semua individu dan mereka yang bersubahat dengan rejim sebelumnya.
“Jika tidak berjaya, mereka difahamkan menyasarkan dan menangkap keluarga individu berkenaan serta menghukum mereka di bawah undang-undang Syariah mengikut tafsiran sendiri.
“Mereka yang berisiko paling tinggi adalah individu di ibu pejabat pusat tentera, polis dan perisikan, walaupun Taliban sebelum ini berjanji tidak akan membalas dendam,” menurut laporan bertarikh 18 Ogos itu.
RHIPTO, selaku pertubuhan tidak berasaskan keuntungan, membuat penilaian perisikan bebas dan memaklumkan laporan Afghanistan itu dikongsi dengan agensi dan individu yang bekerja di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ini bukan laporan yang dibuat PBB, tetapi oleh Pusat Analisis Global Norway,” kata seorang pegawai PBB, ketika diminta memberi komen.
Sejak menguasai Kabul, Taliban berusaha menampilkan pendirian lebih sederhana kepada dunia, dengan menegaskan ia menginginkan perdamaian dan bukannya membalas dendam terhadap musuh lama.
Laporan empat halaman itu turut memuatkan surat didakwa ditulis kepada individu yang dibawa dari kediamannya di Kabul dan ditahan serta disoal siasat mengenai peranannya sebagai pegawai anti pengganas dalam pemerintah sebelumnya.
Surat bertarikh Isnin lalu itu, daripada Suruhanjaya Tentera Emiriah Islam Afghanistan, menyatakan tahanan itu melakukan perjalanan ke Britain sebagai sebahagian tugasnya, ‘yang menunjukkan dia mempunyai hubungan baik dengan AS dan Britain’.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang anggota kanan pasukan keselamatan pentadbiran lama menghantar mesej kepada wartawan yang mengatakan Taliban sudah memperoleh dokumen keselamatan rahsia nasional.
Tambah beliau, pejuang Taliban kini sedang mengesan dan menangkap kumpulan bekas pegawai perisikan dan keselamatan di bawah kerajaan lama. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd
