fatin.farhana@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Media Prima Audio (MPA) yang melalui proses penjenamaan semula, baru-baru ini, melancarkan inisiatif bersama platform Kumpulan Media Prima mengumpul dana bagi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui Program Amal COVAiD #BaikSemula.
Program yang diterajui Hot FM bersama Buletin FM, Fly FM, 8 FM dan platform Media Prima Berhad (MPB) ini bertujuan menghargai sumbangan petugas barisan hadapan melawan COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran, berkata Program Amal COVAiD #BaikSemula adalah tanda penghargaan selain mahu meringankan beban petugas barisan hadapan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang sudah banyak berkorban dalam menangani COVID-19.
“Apa yang sudah mereka lakukan sangat membanggakan kami dan negara.
“Inilah masanya untuk kami menunjukkan rasa berterima kasih dan memberi sokongan berterusan kepada mereka melalui Program Amal COVAiD #BaikSemula.
“Saya mengajak seluruh rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan ikhlas kepada tabung amal ini agar dapat membantu petugas barisan hadapan dan mereka yang terkesan dengan COVID-19,” katanya.
Nazri berkata demikian pada sesi Chillax secara maya bersama penyampai Hot FM, Haziq Hussni dan Riena Diana serta barisan artis yang menjayakan Program Amal COVAiD #BaikSemula, hari ini.
Antara artis yang memeriahkan sesi Chillax adalah Naim Daniel, Amir Masdi, Hael Husaini, Hujan, Meer Nash, Dolla, Shalma Eliana, Misha Omar dan Dayang Nurfaizah.
Kenyataan Media Prima Audio menyebut, tidak hanya itu, program Amal COVAiD #BaikSemula menampilkan 43 artis popular tanah air yang akan membuat persembahan dari rumah.
Program ini bertujuan menggalakkan orang orang ramai duduk di rumah melihat persembahan artis sambil beramal.
Program Amal COVAiD #BaikSemula akan berlangsung melalui akaun YouTube Hot FM dan Hot TV pada 4 September depan, mulai jam 12 tengah malam selama 24 jam.
Antara 43 orang artis yang akan terbabit dalam program amal itu adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Yonnyboii, Bunkface, SonaOne, Masdo, Hael Husaini dan Hazama and The Penglipurlara.
Turut serta Ara Johari, Sufian Suhaimi, Nabila Razali, Ernie Zakri, Syamel, Kmy Kmo, Luca Sickta, Zynakal, Faizal Tahir, Siti Nordiana, Tuju, Alif Satar & The Locos, Adrian dan Adly.
Tidak ketinggala Erulxnaufa, Kael, Evie, Apex, Pasya Mentor, Sissy Iman dan Marsha Milan.
Memberi kepelbagaian, program keagamaan dan motivasi bersama Ustaz Elyas Ismail turut disediakan.
Orang ramai yang mahu menghulurkan derma boleh melakukannya melalui perbankan dalam talian atau membuat deposit ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank bernombor 5141-0532-3170.
Selesai memberi sumbangan, orang ramai boleh menghantar slip transaksi dengan menyatakan COVAiD dalam e-mel kepada communications@mediaprima.com.my untuk mendapatkan resit rasmi.
Setiap sumbangan akan digunakan membeli peralatan perubatan, makanan dan keperluan harian yang akan disalurkan kepada individu yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
© New Straits Times Press (M) Bhd




