PSG letak harga Mbappe RM1.27 bilion

PSG letak harga Mbappe RM1.27 bilion

LONDON – Paris Saint-Germain (PSG) kembali membuat tawaran kepada Real Madrid yang ingin mendapatkan Kylian Mbappe dengan harga perpindahan baharu sebanyak €220 juta

Menurut sumber akhbar Le Parisien, PSG sudah memberi maklum balas berkenaan bidaan yang dibuat oleh Real sebelum ini ke atas Kylian ini.

Kelab gergasi Ligue 1 itu menetapkan harga €220 juta untuk Mbappe dan bukan tawaran sekitar 160 juta euro (RM789 juta) seperti pada bidaan pertama.

Mbappe, 22, dilaporkan memberitahu Paris Saint-Germain bahawa dia mahu meninggalkan Parc des Princes.

Masa depan bintang Perancis bersama gergasi Ligue 1 itu menimbulkan tanda tanya sejak kehadiran Lionel Messi di ibu kota Perancis.

Real yang sekian lama berminat dengan bekas pemain Monaco itu mula mengintai peluang selepas perpindahan Messi dan menurut talkSPORT, Los Blancos sedia membida £137 juta (RM792 juta) untuk mendapatkan pemenang Piala Dunia itu.

Baru-baru ini, Mbappe menolak tawaran kontrak lanjutan susulan perjanjian lamanya tamat musim panas akan datang dan memberitahu PSG dia mahukan cabaran baharu.

PSG boleh menjual mesin gol mereka itu bagi menyeimbangkan kewangan selepas mendapatkan Messi terutamanya apabila kontrak Mbappe tamat musim panas depan.

Tetapi presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi, percaya Mbappe tiada alasan untuk tidak terus kekal di kelab itu. – MalaysiaGazette

Scroll to Top